COVID-19: EU bimbang penularan pantas varian Delta
Astro Awani
Jun 28, 2021 06:55 MYT
Jun 28, 2021 06:55 MYT
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bimbang dengan penyebaran pantas varian Delta yang sangat mudah menular.
Menurut Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Margaritis Schinas, varian berkenaan berisiko mendatangkan prospek tidak baik, berdasarkan nasihat saintifik daripada Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Kebimbangan ini disuarakan ketika mesyuarat jawatankuasa Parlimen Eropah mengenai alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan makanan.
Katanya, ramalan menunjukkan varian Delta akan menyumbang 90 peratus kes koronavirus pada akhir bulan Ogos.
Senario pemodelan ECDC menunjukkan kelonggaran sekatan COVID-19 yang lebih banyak akan menyebabkan peningkatan signifikan dalam kes harian.
Ini akan meningkatkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital dan risiko kematian.
Beliau juga bimbang dengan tindakan kerajaan UK membenarkan perlawanan separuh akhir dan akhir Euro 2020 diadakan dengan kapasiti penonton yang tinggi di Stadium Wembley.
"Jelas ada trend yang sangat membimbangkan, sesuatu yang memaksa kita untuk terus berwaspada.
"Dan senario pemodelan ECDC dengan jelas menunjukkan kelonggaran sepanjang musim panas pada awal bulan Jun akan menyebabkan kenaikan kes harian yang cepat dan ketara di semua kumpulan usia dengan peningkatan yang berkait rapat di hospital dan mungkin kematian," kata Schinas.
#COVID-19
#koronavirus
#Kesatuan Eropah
#Parlimen
#varian baharu
#Varian Delta
#Margaritis Schinas
#Suruhanjaya Eropah
#penyebaran pantas