COVID-19: Eropah bakal saksikan pengakhiran pandemik

Astro Awani
Januari 23, 2022 07:19 MYT
Hans Kluge berkata, 60 peratus rakyat Eropah dijangka bakal dijangkiti COVID-19 varian Omicron menjelang Mac. - Gambar fail
VARIAN Omicron menyaksikan pandemik COVID-19 beralih ke fasa baharu dan ia dijangka boleh dihentikan di Eropah.
Demikian pandangan Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah Hans Kluge, yang menjelaskan pada Ahad, rantau tersebut kini sedang bergerak ke arah pengakhiran pandemik.
Ini kerana, jelasnya, 60 peratus rakyat Eropah dijangka dijangkiti COVID-19 varian Omicron menjelang Mac.
Namun, apabila lonjakan susulan varian Omicron melanda seluruh Eropah reda, akan berlakunya imuniti global selama beberapa minggu, bahkan bulan.
Ia juga tertakluk kepada keberkesanan vaksinasi atau sama ada orang ramai mempunyai imuniti susulan dijangkiti.
Ujarnya, pihaknya menjangkakan COVID-19 akan reda untuk tempoh tertentu, sebelum ia berkemungkinan melonjak kembali akhir tahun ini.
Namun, ia tidak semestinya bermakna pandemik ini akan muncul semula.
Pada masa sama, saintis terkemuka Amerika Syarikat (AS) Anthony Fauci turut menyuarakan pandangan serupa.
Ia susulan keadaan bertambah baik di AS selepas menyaksikan penurunan kes harian.
Minggu lalu, pejabat wilayah WHO untuk Afrika juga mengatakan kes COVID telah menurun di wilayah itu.
Angka kematian juga menurun buat kali pertama sejak gelombang keempat virus yang didominasi Omicron mencapai kemuncaknya.
#varian omicron #eropah #Hans Kluge #pandemik berakhir
;