COVID-19: England tetap mansuh sekatan mulai 19 Julai walaupun kes naik

Astro Awani
Julai 12, 2021 07:55 MYT
Boris Johnson bercakap pada sidang media di Downing Street, London, 12 Julai, 2021. (Foto AP)
KESEMUA sekatan pergerakan yang masih dikuatkuasakan di England akan dimansuhkan minggu depan walaupun negara itu merekodkan peningkatan mendadak kes COVID-19.
England akan menjadi negara pertama di Britain yang memansuhkan peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengesahkan perkara itu dalam taklimat di London pada Isnin.
"Kami akan meneruskan dasar sempadan yang ketat, termasuk kuarantin bagi mereka yang tiba dari negara-negara risiko tinggi, dan kami akan terus lakukan ujian saringan, pengesanan dan pengasingan," katanya.
Johnson berkata, kerajaan berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran dalam memberikan vaksin dos pertama kepada semua orang dewasa menjelang 19 Julai.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dan tidak menolak kemungkinan mengenakan sekatan pergerakan semula sekiranya keperluan itu timbul.
Sementara itu, Ketua Penasihat Sains Kerajaan United Kingdom Sir Patrick Vallance berkata, jangkitan baharu boleh mencapai 100,000 sehari pada musim panas.
Sebilangan besar kes jangkitan dijangka berlaku dalam kalangan golongan muda yang belum menerima dos pertama vaksin.
Britain telah melaksanakan salah satu program vaksinasi paling cepat di dunia, dengan lebih 87 peratus orang dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 dan 66 peratus telah menerima dua dos.
#COVID-19 #sekatan pergerakan #pelitup muka #penjarakan fizikal #Boris Johnson #ujian saringan #program vaksinasi #vaksin #dos pertama #jangkitan #London #Britain #England #United Kingdom #mansuh sekatan
;