COVID-19: England mula fasa longgarkan sekatan

Astro Awani
Mei 11, 2021 11:39 MYT
England memulakan fasa seterusnya dalam melonggarkan sekatan COVID-19. -Gambar fail
LONDON: England memulakan fasa seterusnya dalam langkah melonggarkan sekatan ketika negara itu memerangi pandemik COVID-19.
Menurut Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kelonggaran itu akan mengikut jadual yang disasarkan Februari lalu.
"Saya boleh sahkan kita telah lulus empat ujian bagi mengurangkan sekatan di England.
"Ketua perubatan akan meneliti data ini, tetapi dengan kadar kematian dan jumlah kemasukan hospital yang paling rendah sejak Julai lalu.
"Mereka setuju untuk mengurangkan tahap amaran.
"Sokongan data membolehkan England memasuki fasa ketiga 17 Mei depan," katanya.
Kelonggaran sekatan bermaksud pub, bar dan restoran boleh beroperasi dan menerima pengunjung.
Perhimpunan di kawasan terbuka dibenarkan dalam lingkungan 30 individu.
Turut dibenarkan beroperasi dengan penjarakan fizikal ialah panggung wayang.
Johnson melahirkan keyakinan bahawa England kini di laluan tepat untuk ke fasa seterusnya, menghapuskan semua sekatan perhimpunan pada 21 Jun depan.
Pengumuman ini menyusul selepas keputusan tahap amaran COVID-19 di negara itu yang kini berkurangan ke tahap tiga.
Keputusan mengurangkan tahap amaran juga dibuat selepas mendapati kes kematian dan jumlah pesakit di hospital mencatat kadar terendah sejak Julai lalu.
Sehingga kini, 26 peratus penduduk UK sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, dengan 67 peratus lagi sudah menerima satu dos vaksin.
#England #perhimpunan #COVID-19 #Boris Johnson #vaksin #suntikan #pandemik #Britain #longgarkan sekatan #mengurangkan sekatan #benar beroperasi
;