COVID-19: England longgar syarat ujian saringan ketibaan
Astro Awani
Oktober 15, 2021 09:32 MYT
Oktober 15, 2021 09:32 MYT
LONDON: Pengembara lengkap dua dos vaksin yang tiba di England dari negara-negara berisiko rendah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 mulai 24 Oktober ini.
Langkah itu dilihat sebagai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum ini bagi mendorong pemulihan sektor pelancongan negara itu.
Sebelum ini penggiat industri pelancongan menyalahkan SOP ujian saringan COVID-19 dan peraturan rumit yang melambatkan pemulihan perjalanan udara pada musim panas.
Kerajaan berkata, mulai 24 Oktober, penumpang penerbangan yang lengkap vaksin dan tiba dari negara berisiko rendah boleh menjalankan ujian aliran lateral ketika atau dua hari sebelum ketibaan mereka berbanding mengambil ujian saringan PCR.
Ujian aliran lateral lebih murah dan memberikan keputusan yang pantas.
Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps berkata, memansuhkan ujian PCR wajib yang mahal akan meningkatkan industri pelancongan dan merupakan langkah maju dalam menormalkan perjalanan antarabangsa serta mendorong orang ramai untuk menempah percutian dengan yakin.
Kerajaan mengatakan penumpang mesti menggunakan ujian aliran lateral yang dibeli daripada penyedia swasta yang disenaraikan di laman web kerajaan dan bukan yang percuma yang tersedia sebagai sebahagian daripada skema ujian dan jejak kerajaan.
Penumpang juga perlu memuat naik foto rujukan ujian dan tempahan mereka untuk mengesahkan keputusan.
Sesiapa yang mempunyai ujian aliran lateral positif akan diberikan ujian PCR pengesahan percuma melalui perkhidmatan kesihatan nasional.