COVID-19: Enam warga Romania, 19 warga Itali selamat tiba
Agensi
Februari 22, 2020 18:54 MYT
Februari 22, 2020 18:54 MYT
ENAM warga Romania yang dibawa pulang dari kapal persiaran Diamond Princess di Jepun tiba di Bucharest pada Sabtu.
Rakaman menunjukkan pesawat khas itu mendarat di pangkalan tentera, sebelum kelihatan kesemua penumpang memasuki sebuah kenderaan perubatan.
Enam warga Romania terbabit sebelum ini disahkan negatif COVID-19 ketika ujian saringan di Tokyo.
Bagaimanapun, kesemua mereka masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di lokasi yang tidak didedahkan.
Setakat ini, dua warga Romania yang disahkan positif COVID-19 sedang menerima rawatan di hospital Jepun, sementara sembilan lagi kru masih berada di atas kapal tersebut.
Dalam pada itu, 19 warga Itali yang dibawa pulang dari Jepun turut dilaporkan tiba di pangkalan udara Pratica di Mare, selatan Rom, selepas berhenti di Berlin, Jerman pada Sabtu.
Mereka kemudian dibawa ke kem tentera Cecchignola bagi menjalani kuarantin selama 14 hari.
Kesemua mereka sebelum ini juga disahkan negatif COVID-19 ketika menjalani ujian saringan di Jepun.