COVID-19: Enam negeri di India catat peningkatan kes ketara
Astro Awani
Julai 16, 2021 05:45 MYT
Julai 16, 2021 05:45 MYT
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Jumaat bertemu dengan enam pemimpin negeri yang merekodkan kes terburuk COVID-19.
Beliau berkata 80 peratus daripada kes baharu dan 84 peratus kematian baharu yang direkodkan di negara itu minggu lalu dicatatkan di Tamil Nadu, Andhra Pradesh, Karnataka, Odisha, Maharashtra and Kerala.
Jelasnya, adalah penting buat negeri-negeri tersebut untuk mengambil langkah proaktif bagi mengawal penularan sebelum memasuki gelombang ketiga.
"Sekiranya situasi tidak dikawal, kita akan berdepan dengan beberapa kesukaran.
"Adalah penting bagi negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan ini mengambil langkah proaktif untuk menghentikan sebarang kebarangkalian gelombang ketiga," katanya.
Enam negeri terlibat mendakwa kelewatan pengagihan vaksin oleh kerajaan menyumbang kepada peningkatan kes.
Ini turut menyebabkan beberapa pusat vaksinasi ditutup kerana ketiadaan bekalan vaksin.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan negara itu, Dr Harsh Vardhan meletak jawatan susulan kritikan yang dilemparkan atas kegagalan mengawal pandemik ini.
Bagaimanapun, Mansukh Mandaviya yang mengambil alih tugas tersebut mendakwa enam negeri ini gagal mengurus pandemik berkenaan dengan baik.
Jelasnya mereka telah diberitahu tentang penjadualan bekalan namun mereka gagal membuat perancangan mengikut jadual berkenaan.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan India mengumumkan sejumlah 2 juta dos vaksin akan dibekalkan pada Disember tahun ini.