COVID-19: EMA benarkan penggunaan dos penggalak vaksin Moderna

Hafizi Rosli
Oktober 25, 2021 07:17 MYT
Data menunjukkan, dos ketiga yang diberikan enam hingga lapan bulan selepas dos kedua mampu meningkatkan tahap antibodi individu dewasa yang tahap antibodinya semakin berkurangan. - Gambar fail
BADAN Kawal Selia Ubat-Ubatan Eropah (EMA) pada Isnin membuat kesimpulan bahawa dos penggalak vaksin COVID-19 Moderna boleh diberikan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua.
Ia adalah vaksin penggalak COVID-19 kedua yang diluluskan di Kesatuan Eropah (EU).
Kebenaran itu diberikan berikutan data yang menunjukkan bahawa dos ketiga yang diberikan enam hingga lapan bulan selepas dos kedua mampu meningkatkan tahap antibodi individu dewasa yang tahap antibodinya semakin berkurangan.
Awal bulan ini, EMA meluluskan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech dan mengesyorkan dos ketiga suntikan daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
EMA turut menyatakan bahawa pelaksanaan kempen vaksinasi kekal sebagai prerogatif badan penasihat yang menerajui kempen vaksinasi di setiap negara anggota EU.
Ketika berdepan tekanan untuk memulihkan ekonomi, melawan varian Delta yang mudah menular dan mengurangkan sekatan serta musim sejuk, beberapa negara anggota EU melancarkan kempen dos penggalak sebelum garis panduan EMA.
Banyak negara juga mengambil pendekatan berbeza mengenai individu yang layak menerima dos ketiga itu.
Jelas EMA, risiko keradangan jantung atau kesan sampingan lain yang jarang berlaku selepas suntikan akan dipantau.
Pihak berkuasa Amerika membenarkan dos penggalak Pfizer-BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson.
#COVID-19 #Moderna #Kesatuan Eropah #dos penggalak
;