COVID-19: Duterte perintahkan 'lockdown' di Manila, usaha atasi ancaman varian Delta

Agensi
Julai 30, 2021 14:22 MYT
Wilayah Metro Manila merangkumi 16 buah bandar dengan dihuni 13 juta penduduk. - Reuters
MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Jumaat meluluskan perintah penutupan (lockdown) ke atas wilayah ibu negara, Manila, dalam usaha mengawal penularan varian Delta COVID-19.
Portal berita The Manila Times melaporkan, langkah itu antara lain untuk melindungi sistem perubatan negara itu yang buat masa ini berdepan cabaran.
Wilayah ibu negara tersebut yang merangkumi gabungan 16 buah bandar dan dihuni oleh 13 juta penduduk, akan diletakkan di bawah perintah kuarantin yang amat ketat bermula 6 Ogos sehingga 20 Ogos, ujar jurucakap Presiden, Harry Roque dalam satu pengumuman yang disiarkan di televisyen.
“Ini adalah keputusan yang sukar, tapi demi kebaikan semua pihak,” ujarnya.
Perintah penutupan itu, yang dijangka menjejas ekonomi tempatan sehingga AS$4 bilion, akan menghalang orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing, kecuali untuk membeli barangan keperluan.
Pada masa sama, orang ramai dilarang makan di tempat makan, sama ada di kawasan tertutup mahupun terbuka.
"Varian Delta kini sudah menular dalam Metro Manila. Langkah ini sangat perlu, kata Pengerusi Majlis Datuk Bandar, Benjamin Abalos.
Semua Datuk Bandar terlibat merancang untuk memperbanyakkan vaksinasi dengan jumlah 250,000 dos sehari, iaitu kenaikan daripada 150,000 setakat ini.
Varian Delta yang sangat tinggi kemungkinan jangkitan, yang mula-mula dikesan di India, kini merebak dengan pantas di seluruh Asia Tenggara.
Filipina juga memanjangkan tempoh larangan bagi pengembara dari 10 buah negara, termasuk India, Indonesia, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu, sehingga 15 Ogos.
Negara itu yang berdepan penularan koronavirus kedua yang dahsyat, sudah merekodkan lebih daripada 1.57 juta kes positif COVID-19 dan lebih 27,000 kematian.
#Manila #COVID-19 #Metro Manila #Varian Delta #Rodrigo Duterte #Harry Roque #lockdon #perintah sekatan #penutupan #penularan #jangkitan #rakyat #Filipina
;