COVID-19: Dubai mula beri suntikan vaksin Pfizer-BioNTech percuma

Agensi
Disember 24, 2020 00:55 MYT
Seorang wanita menerima suntikan vaksin bagi mencegah COVID-19 di Dubai, UAE, 23 Dis, 2020. REUTERS
DUBAI akan memulakan proses suntikan vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma biotek Pfizer-BioNTech secara percuma pada Rabu.
Langkah itu menuruti jejak Arab Saudi, negara Timur Tengah pertama memulakan proses inokulasi tersebut minggu lalu, menggunakan vaksin Amerika Syarikat (AS) dan Jerman itu.
Awal bulan ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain sudah mula menyuntik rakyatnya dengan vaksin buatan syarikat farmaseutikal China, Sinopharm.
Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE mendaftarkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kegunaan kecemasan atas permintaan Pfizer, menurut laporan agensi berita tempatan.
UAE merupakan negara pertama di luar China memulakan inokulasi vaksin berkenaan terhadap orang awam.
Hasil ujian klinikal interim bagi vaksin Sinopharm dilaporkan menunjukkan 86 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan COVID-19.
China telah memasukkan dua calon vaksin dari Sinopharm dan satu dari Sinovac Biotech Ltd dalam program penggunaan kecemasan yang dilancarkan pada Julai.
Ia menyasarkan kumpulan berisiko tinggi tertentu seperti pekerja perubatan dan pemeriksa sempadan.
#Dubai #suntikan #vaksin #Pfizer #BioNTech #UAE #Bahrain #Timur Tengah #COVID-19 #Sinopharm #virus #Arab Saudi #China #Amerika Syarikat #Kementerian Kesihatan #perubatan