COVID-19: AS diramal gagal capai sasaran vaksinasi menjelang 4 Julai

Astro Awani
Jun 22, 2021 06:34 MYT
AS diramal gagal memenuhi sasaran Presiden Joe Biden untuk memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 kepada 70 peratus orang dewasa menjelang 4 Julai ini. -Gambar fail
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) diramal gagal memenuhi sasaran Presiden Joe Biden untuk memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 kepada 70 peratus orang dewasa menjelang 4 Julai ini.
Pasukan petugas COVID-19 White House turut memberi amaran varian delta yang pertama kali dikesan di India menimbulkan ancaman besar dalam perang membasmi COVID-19.
Justeru, AS akan mengalihkan fokus program vaksinasi kepada populasi di bawah usia 30 tahun.
Ini susulan kenyataan penyelaras tindak balas COVID-19 White House, Jeff Zients bahawa golongan muda AS merasakan COVID-19 bukan sesuatu yang memberi kesan kepada mereka dan tidak berminat untuk mendapatkan vaksin.
Namun, katanya, dengan varian delta kini tersebar di seluruh negara dan menjangkiti golongan muda di seluruh dunia membuatkan lebih penting golongan ini mendapatkan vaksin.
Kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan tempatan untuk mendekati golongan muda.
Tambah Zients, ini akan memerlukan beberapa minggu tambahan untuk mencapai 70 peratus orang dewasa AS mempunyai sekurang-kurangnya satu suntikan dengan mereka yang berumur 18 ke 26 tahun diambil kira.
Kenyataan ini hadir ketika pasukan petugas COVID-19 White House mengumumkan negara itu tidak akan dapat memenuhi tarikh akhir Presiden Joe Biden pada 4 Julai untuk mencapai 70 peratus penduduk diberikan vaksin dengan sekurang-kurangnya satu suntikan.
White House berkata memenuhi matlamat vaksinasi Biden kurang penting berbanding kepantasan pembukaan semula negara.
Ini kerana berdasarkan unjuran dalaman, sebilangan besar golongan rentan telah diberi vaksin sepenuhnya manakala kes baharu dan kematian berada pada kadar terendah sejak pandemik melanda.
Namun kadar vaksinasi di seluruh negara turun mendadak sejak bulan lalu dengan hanya 300,000 rakyat AS mendapat suntikan setiap hari secara purata.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), hanya 53 peratus berusia 25 hingga 39 tahun menerima satu dos dan di antara mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun pula adalah 47 peratus.
#White House #program vaksinasi #vaksin #Joe Biden #COVID-19 #varian baharu #Varian Delta #Jeff Zients #Amerika Syarikat #4 Julai #CDC #Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit
;