COVID-19 di Thailand: 21,379 kes positif baharu, 191 kematian
Agensi
Ogos 6, 2021 16:45 MYT
Ogos 6, 2021 16:45 MYT
BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand pada Jumaat melaporkan sejumlah 21,379 kes jangkitan baharu COVID-19 dicatatkan di negara itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Bangkok Post melaporkan, penambahan kes tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Negara gajah Putih berkenaan adalah sebanyak sejumlah 714,684 kes, sejak pandemik bermula sejak awal tahun lalu.
Daripada angka terbaru itu, 20,835 kes adalah dikesan dari kalangan populasi awam sementara 484 lagi dikenal pasti dalam kalangan banduan.
Angka kematian terbaru pula adalah 191 orang, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat koronavirus adalah seramai 5,854 orang.
Sementara itu, sejumlah 22,172 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh yang sama.
Thailand berdepan dengan impak gelombang ketiga COVID yang teruk sejak 1 April lalu, selepas ramai yang lega kerana negara itu dilihat sudah berjaya mengawal penularan wabak sehinggakan ada banyak pelan pembukaan destinasi pelancongan dibuat.
Jabatan Kawalan Penyakit negara itu dalam laporannya pada Jumaat petang, mendedahkan bahawa 191 kes kematian terkini itu adalah dari golongan berusia antara 21 tahun hingga 104 tahun. Sebanyak 123 kes atau 64 peratus daripadanya adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
Daripada jumlah 191 mangsa itu, 187 merupakan warga Thailand.
Didapati bahawa 85 orang daripada mangsa yang meninggal dunia itu tinggal atau telah melawat kawasan penularan wabak, 50 mendapat jangkitan dari tempat kerja dan 40 lagi terjangkit dari ahli keluarga.
Di selatan Thailand, 19 kes kematian dilaporkan - masing-masing enam kes di Narathiwat dan Pattani, tiga di Phattalung, dua di yala dan masing-masing satu di Raning dan Surat Thani.
Program vaksinasi yang dilihat berjalan agak perlahan pada waktu ini di seluruh Thailand menambah kekhuatiran tentang nasib penduduk di Selatan Thailand, yang bersempadan dengan Malaysia.
Ketika seluruh negara sedang berperang berdepan virus yang membawa maut itu, kes positif sudah semakin meningkat di wilayah selatan, dan majoriti penduduk di wilayah Pattani, Yala serta Narathiwat masih belum divaksin.
South China Morning Post sebelum ini melaporkan, sejak bertahun-tahun berdepan konflik dan dicengkam undang-undang tentera, penduduk di wilayah selatan yang banyak dihuni oleh orang Islam itu dikatakan memiliki prasangka serta mempertikai niat kerajaan Thailand dalam hal pemberian vaksin.