COVID-19 di Thailand: 2,041 kes baharu, 31 kematian dalam 24 jam
Agensi
Mei 3, 2021 18:41 MYT
Mei 3, 2021 18:41 MYT
BANGKOK: Thailand pada Isnin merekodkan angka korban tertinggi akibat COVID-19, dengan 31 kes kematian, kata Kementerian Kesihatan negara itu, lapor Reuters.
Angka itu mencetuskan tahap waspada terkini dalam kalangan petugas barisan hadapan dan rakyat Thailand, yang kini berdepan dengan gelombang ketiga penularan.
Selepas secara umumnya berjaya mengawal jangkitan virus korona sepanjang tahun menerusi sekatan pergerakan dan kawalan ketat di sempadan, statistik kes baharu di Negara Gajah Putih itu melonjak sejak awal April.
Perkembangan itu secara langsung memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam Thailand.
Kementerian Kesihatan Thailand mencatatkan sejulah 2,041 kes baharu COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 71,025 kes, sejak pandemik bermula tahun lalu. Jumlah keseluruhan kematian pula adalah 276.
Penularan terbaru itu termasuk varian B117 yang sangat mudah berjangkit, iaitu varian yang dikesan kali pertama di Britain. Varian tersebut adalah punca kepada lebih daripada separuh jumlah kes dan kematian di Thailand.
Negara tersebut menyasarkan untuk memvaksinasi sehingga 70 peratus populasinya menjelang hujung tahun ini, meskipun pelaksanaannya agak perlahan berbanding negara-negara jiran.