COVID-19: Di sebalik lonjakan kes, NSW tamat perintah berkurung

Astro Awani
September 10, 2021 07:09 MYT
Peminat berbaris memasuki stadium menjelang kejohanan ragbi antara All Blacks dan Wallabies di Perth, 5 Sept 2021. (Foto AP)
NEW South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia, mencatat rekod baharu jangkitan COVID-19 dengan 1,542 kes penularan tempatan pada Jumaat.
Ketua Menteri, Gladys Berejiklian memaklumkan, sembilan lagi kematian turut dicatatkan, menjadikan angka korban akibat wabak itu meningkat kepada 162 kes.
Bagaimanapun, perintah berkurung di negeri itu ditamatkan bermula hari ini (11 Sept).
"Kami ingin pastikan semua pihak menikmati kebebasan yang kita nantikan apabila kita mencapai 70% vaksinasi penuh dan seperti yang diramalkan, kita kini berada pada tahap kritikal.
"Ini kerana, kita jangkakan, apabila tiba pertengahan September nanti, semua orang telah menerima vaksin, jumlah jangkitan akan mula berkurangan," kata Berejiklianv di Sydney pada Jumaat.
Sementara itu, di Perth, Ketua Menteri Australia Barat, Mark McGowan memaklumkan, negerinya akan mengambil masa lebih lama untuk membuka semula sempadan berbanding negeri-negeri lain.
Beliau turut memberi amaran sekiranya sempadan negeri itu dibuka, Australia Barat akan berdepan dengan penularan jangkitan dalam komuniti, perintah 'lockdown' dan kematian.
Sejak ia ditutup, aktiviti pada waktu malam yang dianjurkan di negeri itu dijalankan dengan aktif tanpa pemakaian pelitup muka.
Pelbagai aktiviti sukan dijalankan, termasuk 53,000 peminat ragbi memenuhi Stadium Perth untuk menyaksikan perlawanan antara All Blacks dan Wallabies pada Ahad lepas.
Kerajaan persekutuan menyuarakan kekecewaan mereka susulan keengganan McGowan membuka semula sempadan.
Ia berikutan banyak bebanan kewangan ditanggung selain tidak menyokong perniagaan dalam sektor pelancongan yang berisiko gagal tanpa pelancong domestik.
#New South Wales #vaksin lengkap #perintah berkurung #buka semula sempadan #australia barat
;