COVID-19 di Indonesia: Lebih 31,000 kes baharu harian, lebih 700 meninggal dunia

Agensi
Julai 6, 2021 10:09 MYT
Keadaan pesakit yang sedang mendapatkan bantuan pernafasan di sebuah ruang terbuka sebuah hospital lapangan di Sleman, Jogjakarta, Indonesia. - Reuters
JAKARTA: Indonesia antara negara yang berdepan lonjakan kes jangkitan baharu COVID-19 yang amat membimbangkan, apabila sebanyak 31,189 kes baharu harian dicatatkan dalam tempoh 24 jam.
Portal berita Kompas.com melaporkan, berdasarkan data pemerintah pada Selasa, penambahan kes baharu itu merupakan jumlah tertinggi selama tempoh pandemik mencengkam negara republik berkenaan.
Sehingga kini, jumlah pesakit COVID-19 di Indonesia secara keseluruhannya berjumlah 2,345,018 orang, sejak kes pertama pada 2 Mac 2020, menurut laman www.covid-19.go.id.
Sementara itu, data yang sama juga menunjukkan pesakit yang sembuh adalah sebanyak 15,863 orang, menjadikan jumlah akumulatifnya 1,958,553 orang.
Data tersebut juga menunjukkan seramai 728 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dalam sehari, juga merupakan jumlah tertinggi sepanjang Indonesia melawan pandemik.
Setakat ini, Indonesia mencatat sejumlah 61,868 orang yang maut akibat virus berkenaan.
Kes COVID-19 di negara itu sudah dikesan di 510 daerah dan kota di 34 provinsi yang ada di Indonesia. Ini bererti, penularan koronavirus sudah terjadi di lebih 99 peratus wilayah Indonesia.
#Indonesia #COVID-19 #jangkitan #kes baharu #koronavrus #lonjakan #gelombang baharu #Jakarta