COVID-19 di India lepasi angka 18 juta kes, 379,257 jangkitan baharu, 3,645 kematian
Agensi
April 29, 2021 18:05 MYT
April 29, 2021 18:05 MYT
BENGALURU: Keseluruhan jumlah kes COVID-19 di India sudah melepasi angka 18 juta orang pada Khamis selepas satu lagi ‘rekod dunia’ baharu dicatatkan berhubung jangkitan koronavirus tersebut, sementara pekerja pengurusan mayat bertungkus-lumus sepanjang waktu.
Dalam tempoh 24 jam, India melaporkan sejumlah 379,257 kes baharu COVID-19 dan 3,645 kematian, menurut data Kementerian Kesihatan negara itu. Angka kematian dalam sehari itu adalah yang tertinggi direkodkan setakat ini sejak pandemik bermula.
Reuters melaporkan, kerja mengebumi mayat menjadi rumit, malah banyak upacara pembakaran mayat terpaksa dilakukan di kawasan terbuka seperti di tapak letak kereta dan di taman awam.
Negara yang populasinya kedua tertinggi di dunia itu kini dalam krisis terburuk, apabila keadaan di hospital dan rumah mayat sesak dengan para petugas kesihatan menggunakan sisa tenaga masing-masing untuk berdepan impak pandemik itu.
Seorang penggali kubur di Mumbai, Sayyed Munir Kamruddin berkata, dia dan rakan-rakan sekerjanya tidak henti menjalankan tugas untuk mengebumikan mangsa.
"Saya tidak takut pada COVID-19. Saya bekerja dengan keberanian. Semua ini atas nama keberanian, bukan ketakutan.
“Ini satu-satunya pekerjaan kami – ambil mayat dari ambulans dan mengebumikannya,” ujarnya yang berusia 52 tahun itu.
Setiap hari, ribuan warga India mencari katil hospital dan bekalan oksigen untuk diberikan kepada ahli keluarga atau saudara-mara yang sedang sakit. Jika tidak mengunakan media sosial, mereka mengharapkan ihsan kenalan peribadi.
Apabila ada katil yang boleh digunakan, terutamanya di unit rawatan rapi, ia segera direbut dan digunakan.
Media tempatan juga melaporkan, ada banyak hospital yang terpaksa meletakkan dua atau lebih pesakit di atas sebuah katil kerana kekurangan tempat, sementara perkakasan rawatan kesihatan pula terpaksa dikongsi.
"Tiada siapa menjangka gelombang kedua sedahsyat ini, kami semua terkejut.
“Sementara kami sedar gelombang kedua di negara-negara lain, dan kami juga pembuat vaksin, memang tidak dijangka lonjakan jangkitan seteruk ini walaupun kami sudah membuat latihan pengurusan," ujar ketua penasihat saintifik kepada kerajaan India, K. VijayRaghavan, seperti yang dipetik dari akhbar Indian Express.
Tentera India kini sibuk menjalankan kerja pemindahan bekalan kesihatan utama, seperti tabung oksigen, ke seluruh negara selain membuka kemudahan rawatan sementara kepada umum.
Hotel dan juga gerabak kereta api juga telah diubah menjadi kemudahan rawatan kritikal untuk menampung kekurangan katil di hospital.