COVID-19: Dexamethasone hanya untuk pesakit serius - WHO
Astro Awani
Jun 17, 2020 06:51 MYT
Jun 17, 2020 06:51 MYT
Steroid murah yang didakwa membantu menyelamatkan nyawa pesakit COVID-19 yang serius wajar digunakan untuk mereka yang benar-benar memerlukannya.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan menegaskan ubat yang dikenali sebagai dexamethasone itu bukanlah ubat yang merawat virus berkenaan.
Bagaimanapun Dr Michael turut mengakui hasil kajian mengenai steroid berkenaan memberi sinar baharu.
Ketika ini COVID-19 sudah mengorbankan lebih 400,000 nyawa dan menjangkiti lebih 8 juta penduduk.
“Adalah penting untuk memahami penggunaan ubat ini adalah di bawah pemantauan pakar perubatan. Ia tidak digunakan untuk kes ringan.
“Ini adalah ubat anti keradangan yang sangat kuat, ia boleh menyelamatkan nyawa mereka yang berada dalam keadaan serius, apabila paru-paru dan sistem kardiovaskular mereka mengalami keradangan.
“Ubat ini membolehkan pesakit yang tidak dapat menyuntik oksigen kepada darah dari paru-paru untuk tempoh kritikal.
"Ia mengurangkan keradangan di peringkat kritikal pesakit. Ia bukan rawatan untuk virus berkenaan, ia bukan vaksin.
"Hakikatnya, steroid boleh dikaitkan dengan replika viral,” katanya.
Hasil ujian klinikal oleh saintis Britain menunjukkan dexamethasone boleh membantu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit serius COVID-19 kepada satu pertiga.
Dengan perkembangan itu, Britain kemudian meningkatkan bekalan dexamethasone-nya.
Walaupun kajian mengenai dexamethasone masih di peringkat awal, saintis percaya ubat berkenaan boleh menjadi standard penjagaan bagi pesakit yang serius.