COVID-19: Dewan Perwakilan AS lulus pelan rangsangan pandemik
Astro Awani
Februari 5, 2021 06:28 MYT
Februari 5, 2021 06:28 MYT
DEWAN Perwakilan yang dikuasai Demokrat pada Jumaat meluluskan Pelan Rangsangan Ekonomi dengan 219 berbanding 209, tanpa undian dari pihak Republikan.
Undian tersebut menyusul beberapa jam selepas ahli perwakilan Demokrat menyuarakan keputusan mereka untuk merancang bantuan COVID-19 tanpa sokongan Republikan.
Ini adalah keputusan terakhir sebelum ia diluluskan secara muktamad bulan hadapan.
Undian oleh Naib Presiden, Kamala Harris menyamakan kedudukan di Dewan Negara.
Kini, pakej bantuan COVID-19 boleh diteruskan Jawatankuasa Kongres dengan tujuan untuk menyelesaikan pelan tambahan pada pertengahan bulan Mac.
Kelulusan tersebut diputuskan selepas Presiden Joe Biden menggesa Kongres meluluskan pelan rangsangan tersebut.
Biden menyifatkan ia sebagai perancangan penyelamat dan jawapan kepada krisis yang dihadapi kini.
Kenyataan tersebut juga menyusul selepas beliau bermesyuarat dengan Ahli Dewan Perwakilan Demokrat yang menyasarkan pakej bantuan COVID-19 bernilai 1.9 trilion dolar pada landasan yang betul dan menjadi sebahagian daripada undang-undang.
“Ia sangat besar, berani dan jawapan sebenar kepada krisis yang dihadapi ketika ini. Itu salah satu perkara dan saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah rancangan baik untuk ekonomi dan bukan sahaja menyelesaikan krisis ketika ini, tetapi ia merupapan pelan jangka panjang ekonomi dan kesihatan rakyat negara ini.
“Rancangan saya adalah untuk membuka peluang pekerjaan, merangsang ekonomi dan membuatkan kita lebih berdaya saing dengan seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Pentagon akan mengerahkan anggota tentera dalam melancarkan progam vaksinasi COVID-19 di Amerika Syarikat.
Penasihat kanan krisis COVID-19, Andy Slavitt mengumumkan, setiausaha kementerian pertahanan meluluskan permohonan bantuan dari agensi pengurusan kecemasan persekutuan.
Ini sekali gus menyaksikan kira-kira 1,000 anggota tentera akan dikerahkan di pusat-pusat vaksinasi.
Ia susulan arahan Biden dalam membangunkan kira-kira 100 pusat vaksinasi besar-besaran di seluruh negara dalam tempoh satu bulan.
Dua akan dibuka di California dan anggota tentera dijangka tiba di sana pada minggu hadapan.
Anggota tentera akan memainkan peranan penting di pusat-pusat vaksinasi termasuk membantu melancarkan proses vaksinisasi sehingga ribuan suntikan diberi.
Dalam pada itu, White House turut mengumumkan, pihak pentadbiran kini menggunakan Akta Pengeluaran Pertahanan dalam membantu meningkatkan pengeluaran vaksin, alat ujian COVID-19 di rumah dan sarung tangan pembedahan.
#Dewan Negara
#White House
#California
#COVID-19
#Joe Biden
#bantuan
#pakej rangsangan
#pandemik
#Amerika Syarikat
#Pelan Rangsangan Ekonomi
#Demokrat
#Republikan
#Kamala Harris
#vaksinasi
#tentera
#pelan rangsangan