COVID-19: Denmark tidak agih vaksin Johnson & Johnson

Astro Awani
Mei 3, 2021 07:15 MYT
Denmark menjadi negara pertama yang mengecualikan penggunaan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson daripada program vaksinasinya. - REUTERS
COPENHAGEN: Denmark menjadi negara pertama yang mengecualikan penggunaan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson daripada program vaksinasinya.
Ia susulan laporan kes pembekuan darah membabitkan vaksin keluaran syarikat itu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Denmark, kelebihan penggunaan vaksin J&J tidak melebihi risiko yang menyebabkan kemungkinan kesan buruk bagi penerima.
Dengan pengecualian ini, ia dijangka menyebabkan kelewatan program vaksinasi negara itu sehingga empat minggu.
Jelas kenyataan itu lagi, program vaksinasi akan terus berjalan menggunakan bekalan vaksin dari syarikat lain.
Denmark sehingga kini sudah memvaksinasi sehingga 11.5 peratus rakyatnya.
Negara itu juga sudah melonggarkan sekatan sejak Mac lalu selepas mencatat penurunan kes harian.
Ia termasuk kebenaran makan di restoran dan kafe serta peminat bola sepak menonton perlawanan secara langsung di stadium.
#COVID-19 #vaksin #Johnson & Johnson #Denmark #bola sepak #pembekuan darah
;