COVID-19: Dapatkan vaksin atau anda akan kena virus - Menteri Kesihatan beri amaran keras
Astro Awani
November 22, 2021 07:21 MYT
November 22, 2021 07:21 MYT
KERAJAAN Jerman pada Isnin mengeluarkan amaran paling keras kepada rakyatnya susulan gelombang keempat COVID-19 di negara itu.
Ia dibuat kerana kadar vaksinasi di Jerman adalah antara yang paling rendah di Eropah Barat.
"Ada kemungkinan, berakhirnya musim sejuk ini nanti, setiap rakyat negara ini, sama ada telah divaksin, telah pulih atau telah mati.
"Walaupun diperkatakan secara sinis, inilah kebenarannya. Dengan penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit, ia tidak mustahil."
Kenyataan dikeluarkan Menteri Kesihatan Jens Spahn, ketika kadar jangkitan COVID-19 mencatat peningkatan.
Dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 30,643 kes baharu direkodkan.
Ini adalah peningkatan 7,000 kes berbanding minggu lalu dan antara kadar tertinggi di dunia.
"Dapatkan vaksinasi secepat mungkin. Kerana mereka yang tidak divaksin, akan dijangkiti dalam tempoh beberapa bulan lagi, melainkan anda benar-benar berhati-hati.
"Dan dalam kes ini, imuniti akan dicapai. Ia akan terjadi sama ada melalui vaksin atau jangkitan. Dan kami sangat sarankan anda pilih vaksinasi," kata Spahn.
Ketika ini, Jerman bergelut dengan gelombang jangkitan ke-4 dan mencatat kes tertinggi sejak pandemik melanda.
Peningkatan kes menyaksikan kapasiti hospital kini hampir ke tahap maksimum.
Pihak berkuasa juga dijangka mengumumkan beberapa larangan kepada mereka yang tidak divaksin.