COVID-19: Cuba berdepan tekanan kekurangan bekalan oksigen

Astro Awani
Ogos 17, 2021 22:30 MYT
Sejak minggu lalu Cuba berdepan kekurangan bekalan oksigen. - Foto AP/Ramon Espinosa
HAVANA: Cuba kini bergantung kepada bantuan ketenteraan untuk membekalkan oksigen.
Ini susulan peningkatan kes COVID-19 hingga menyebabkan sistem kesihatannya dalam keadaan kritikal.
Menurut pihak berkuasa, berlaku peningkatan kes varian Delta yang turut menyaksikan kes kematian semakin meningkat di kepulauan Carribean itu.
Media tempatan melaporkan, Presiden Miguel Diaz-Canel melakukan lawatan ke kem tentera yang menghasilkan dan mengedarkan bekalan oksigen kepada pesakit COVID-19.
Ia termasuk bekalan oksigen yang disumbangkan oleh Rusia.
Sejak minggu lalu Cuba berdepan kekurangan bekalan oksigen dan anggota tentera membantu menghulurkan bantuan dengan menggerakkan misi tersebut ke hospital-hospital yang memerlukan.
Untuk rekod, Cuba melaporkan 9,800 kes harian dengan 68 kematian pada Isnin.
Sejak 15 hari lepas, purata kes positif COVID-19 yang dicatatkan adalah 8,891 setiap hari dengan 82 kematian.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan di Cuba kini lebih 530,000 kes dengan lebih 4,000 kematian.
Manakala lebih 3.2 juta rakyatnya yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka dengan 2 juta lagi dijangka menerima suntikan kedua sebelum September.
#COVID-19 #bekalan oksigen #tentera #Miguel Diaz-Canel