COVID-19: China sedang percepat R&D vaksin khusus bagi Omicron

Astro Awani
Disember 3, 2021 09:15 MYT
Dengan pengambilan vaksin diyakini dapat mengurangkan komplikasi sekiranya dijangkiti varian yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC). - Foto fail/REUTERS
CHINA sedang mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin COVID-19 khusus untuk membendung varian baharu, Omicron.
Perkembangan menyusul ketika mana seluruh dunia berdepan dengan penularan varian baharu, di sebalik China masih belum mencatatkan sebarang kes varian berkenaan.
Menurut Badan Pembangunan Vaksin COVID-19 di China, terdapat keperluan untuk menggunakan teknologi berbeza dengan vaksin sedia ada.
Ini kerana belum ada bukti kukuh melaporkan vaksin dapat mengelakkan penularan varian Omicron ini secara meluas.
Namun dengan pengambilan vaksin diyakini dapat mengurangkan komplikasi sekiranya dijangkiti varian yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC).
Pengeluar vaksin China, Sinovac Biotech berkata ia sedang menilai sama ada vaksinnya berkesan terhadap Omicron atau syarikat itu perlu membangunkan vaksin baharu.
Pfizer-BioNTech pula sebelum ini menjangkakan lebih banyak data mengenai varian Omicron dalam masa dua minggu untuk membantu menentukan sama ada vaksinnya perlu diformula semula.
China masih belum meluluskan vaksin COVID-19 dibangunkan di luar negara.
#COVID-19 #vaksin #Omicron #China
;