COVID-19: China pertimbang perbezaan polisi visa mengikut negara

Astro Awani
Mac 21, 2021 06:56 MYT
China mempercepatkan program vaksinasi COVID-19 dengan sasaran mencapai 10 juta dos sekitar satu minggu. -Gambar fail
BEIJING: China mempercepatkan program vaksinasi COVID-19 dengan sasaran mencapai 10 juta dos sekitar satu minggu.
Beijing telah memberikan 74.96 juta dos vaksin pada Sabtu.
Ia menyasarkan 1.4 bilion lagi dos vaksin boleh diberikan menjelang pertengahan tahun.
Sementara itu, China sedang mempertimbangkan perbezaan polisi bagi pengeluaran visa, penerbangan dan kawalan terhadap jumlah individu yang tiba di China berdasarkan vaksinasi dan situasi COVID-19 di setiap negara.
Naib Pengarah Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit China, Feng Zijian berkata, buat masa ini, negara itu tidak mengecualikan individu yang telah diberi vaksin daripada membuat ujian saringan dan menjalani kuarantin.
Namun, katanya China akan memerhatikan kemajuan antarabangsa dalam pembangunan pasport vaksin.
Ini akan disesuaikan dengan langkah pencegahan virus selepas rakyatnya mencapai tahap imunisasi tinggi.
Pengeluaran vaksin China selama setahun dijangka cukup untuk memenuhi keperluan seluruh negara itu.
China meluluskan empat vaksin yang dibangunkan secara tempatan untuk penggunaan masyarakat termasuk Sinovac, Cansino Biologics dan dua unit kumpulan farmasi nasional China (Sinopharm).
Vaksin kelima yang dikembangkan oleh Institut Mikrobiologi Akademi Sains China telah diluluskan untuk penggunaan kecemasan minggu lalu.
#Beijing #China #penerbangan #ujian saringan #program vaksinasi #vaksin #Sinopharm #Feng Zijian #Sinovac #CanSino Biologics #Institut Mikrobiologi Akademi Sains China
;