COVID-19: China perlu jujur mengenai asal usul virus

Astro Awani
Februari 28, 2023 00:50 MYT
Seorang petugas lengkap dengan pakaian PPE berdiri di pasar Baishazhou ketika lawatan pegawai WHO yang ditugaskan untuk mencari asal usul virus COVID-19 di Wuhan, China. - Foto REUTERS
CHINA harus jujur mengenai asal usul wabak COVID-19, kata duta Amerika Syarikat (AS) ke China.
Kenyataan ini menyusul satu laporan didedahkan Jabatan Tenaga AS bahawa wabak itu mungkin berasal daripada kebocoran makmal di negara tembok besar itu.
Menurut Nicholas Burn, China perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terutama dalam aspek penyaluran maklumat yang betul.
Ia termasuk memberi info berkaitan apa yang berlaku tiga tahun lalu di Wuhan dengan kes jangkitan manusia pertama dilaporkan pada Disember 2019.
Wall Street Journal pertama kali melaporkan bahawa Jabatan Tenaga AS telah menyimpulkan wabak itu mungkin timbul daripada kebocoran makmal China, namun ia dinafikan Beijing.
Jabatan itu membuat penilaian menerusi laporan perisikan sulit yang diberikan baru-baru ini kepada White House dan ahli penting Kongres.
Empat agensi AS yang lain, bersama panel perisikan negara, masih menilai bahawa COVID-19 berkemungkinan disebabkan oleh penularan semula jadi, manakala dua lagi belum membuat keputusan.
#COVID-19 #kebocoran makmal #asal usul #Nicholas Burn