COVID-19: China lapor kematian pertama dalam tempoh setahun

Astro Awani
Mac 21, 2022 08:15 MYT
Anggota tentera terlibat dalam operasi ujian saringan besar-besaran di China. - Foto AP
SHANGHAI: China melaporkan kematian pertama COVID-19 dalam tempoh lebih setahun, pada Sabtu.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan dua individu meninggal dunia akibat COVID-19 di wilayah timur laut Jilin.
Sebelum ini, tanah besar itu hanya melaporkan dua kematian sepanjang tahun 2021, iaitu yang terakhir pada 25 Januari.
Negara itu mengekalkan dasar 'pembersihan dinamik' untuk mengurangkan jangkitan secepat mungkin dengan sekatan ketat seperti perintah berkurung pendek serta ujian saringan besar-besaran di kawasan kes ditemui.
Wilayah Jilin, bersempadan dengan Korea Utara dan Rusia menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada jangkitan domestik dalam gelombang terkini.
Menurut pegawai kanan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, seorang daripada kes maut itu tidak mendapatkan vaksin COVID-19.
Kedua-dua mangsa yang berusia 87 tahun dan 65 tahun itu mempunyai simptom COVID-19 yang ringan.
Dengan rekod kematian baharu itu, China kini mempunyai jumlah kumulatif kematian sebanyak 4,683 kes.
Negara itu juga melaporkan 2,228 kes baharu, pada Ahad.
Sehingga Jumaat, tanah besar China mempunyai jumlah kumulatif 128,462 kes yang disahkan.
#COVID-19 #kes kematian #perintah berkurung #ujian saringan
;