COVID-19: China laksana proses disinfeksi besar-besaran

Astro Awani
Ogos 8, 2021 08:18 MYT
Trak digunakan untuk melaksanakan proses disinfeksi besar-besaran di bandar Zhengzhou. - Astro AWANI
INI mungkin kaedah yang masih asing dan belum pernah dipraktikkan di mana-mana negara ketika ini.
Proses disinfeksi secara besar-besaran dilakukan di kota Zhengzhou, ibukota wilayah Henan di tengah China, susulan lonjakan kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini.
Langkah pencegahan dan pengawalan bagi membendung penularan wabak itu, meliputi tempat-tempat awam, dilakukan mulai jam 10 malam pada Jumaat sehingga ke awal pagi Sabtu.
Kawasan-kawasan yang disasarkan termasuk stesen keretapi, hospital, pusat membeli belah dan lebih 1,700 jalan utama di bandar itu.
Berdasarkan rakaman visual, trak-trak digunakan untuk melaksanakan prosedur berkenaan, selain disertai petugas kesihatan.
"Kami menyediakan 140 kenderaan bersaiz besar, kecil dan sederhana untuk proses semburan pembasmian kuman di daerah Erqi, dan menghantar lebih 330 orang untuk kerja-kerja disinfeksi itu.
"Secara keseluruhan, kami memerlukan sekitar 6,500 kilogram pembasmi kuman, yang boleh meliputi 256 jalan di Erqi," kata Tan Yuxia, kakitangan Pusat Perkhidmatan Sanitasi Daerah Erqi.
"Kami memilih melakukannya pada waktu malam kerana ia melibatkan banyak kenderaan pembasmi kuman dan meliputi satu kawasan yang luas.
"Kita perlu mengelakkan kesan terhadap perjalanan awam," kata seorang pegawai majlis perbandaran.
Daerah Erqi yang menjadi sasaran majoritinya didiami komuniti yang diklasifikasi sebagai berisiko sederhana dan tinggi.
Menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah pada Jumaat, Henan melaporkan 21 kes COVID-19 jangkitan tempatan dan 102 kes tidak bergejala dari 31 Julai hingga 5 Ogos.
COVID-19 | China laksana disinfeksi besar-besaran
#gelombang baharu #COVID-19 #jangkitan #petugas kesihatan #China #Zhengzhou #disinfeksi #besar-besaran #tempat awam #berisiko sederhana tinggi #berisiko tinggi
;