COVID-19: Chile negara pertama tawar suntikan dos keempat

Astro Awani
Januari 7, 2022 09:00 MYT
Pinera berkata, pengalaman menunjukkan, keberkesanan vaksin adalah berkurangan dengan kemunculan varian baharu. - Foto Twitter @sebastianpinera
CHILE menjadi negara pertama di dunia menawarkan suntikan vaksin COVID-19 dos keempat.
Program suntikan tambahan itu akan bermula minggu depan, menurut pengumuman dibuat Presiden Sebastian Pinera, di tengah-tengah penularan varian Omicron.
"Pengalaman menunjukkan keberkesanan vaksin adalah berkurangan dengan kemunculan varian baharu.
"Sehubungan itu, kami mengumumkan suntikan keempat akan bermula Isnin, 10 Jan.
"Kami akan mulakan pemberian vaksin besar-besaran bagi suntikan keempat dan dos penggalak," katanya di Santiago pada Khamis.
Chile antara negara yang mencatat kadar vaksinasi tinggi dan disifatkan boleh menjadi model contoh kerana bertindak balas cepat terhadap pandemik.
Setakat ini, 85 peratus populasinya sudah lengkap dua dos manakala 57 peratus sudah menerima dos penggalak.
Bagi suntikan dos keempat, kerajaan akan menggunakan jenis vaksin yang diluluskan untuk negara itu, termasuk Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.
Menteri Kesihatan Chile memaklumkan gabungan berlainan vaksin sepatutnya memberi tindak balas imun yang lebih baik.
#Chile #dos keempat #suntikan vaksin COVID-19 #Sebastian Pinera
;