COVID-19: Cegah virus korona, Singapura sedia buka puasa percuma
Razak Chik
April 19, 2020 22:19 MYT
April 19, 2020 22:19 MYT
Seminggu sebelum mula puasa, persediaan iftar dan kebajikan petugas barisan hadapan Ramadan terlibat rawatan pandemik COVID-19 Singapura diberi perhatian.
Makanan percuma untuk buka puasa akan disediakan, bukan hanya untuk petugas tetapi turut disediakan bagi keluarga di rumah sepanjang bulan Ramadan.
Pengumuman dibuat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Sabtu. Asnaf zakat yang layak dan keluarga yang memerlukan turut akan menerima bekalan iftar.
Akibat perintah tinggal rumah (Stay Home Order – SHO) yang masih berjalan, tradisi seperti jualan juadah berbuka puasa tidak lagi dibenarkan di republik itu selagi pandemik belum lenyap.
Menurut MUIS, pelbagai agensi dan pertubuhan kemasyarakatan bersedia menyedia makanan untuk 15,000 penerima sepanjang Ramadan yang dijangka bermula pada Jumaat 24 Mac nanti.
Bekalan makanan akan diedarkan ke hospital, pusat kemasyarakatan, kelab penduduk atau terus ke rumah penerima.
Penyediaan makanan untuk iftar Ramadan ini adalah inisiatif MUIS bersama rangkaian masjid, Pertubuhan Rahmatan Lilalamin, Persatuan Rakyat, Persatuan Roses of Peace bersama Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Singapura.
Mengikut Mohamed Irshad, pengasas Roses of Peace – sebuah pertubuhan anak muda mempromosi harmoni pelbagai bangsa dan agama di Singapura – pandemik COVID-19 sudah tentu merumitkan petugas kesihatan untuk menyediakan makanan untuk iftar terutama ketika ketiadaan bazar Ramadan tahun ini.
Tambah Mohamed Irshad, “Sebelum ini, majlis berbuka puasa menjadi tumpuan kesemua anggota masyarakat, bukan sahaja kalangan mereka yang berpuasa.
“Menjadi tanggung jawab kita supaya tiada sesiapa yang terpaksa menghadapi kelaparan pada waktu yang begitu mencabar ini,” kata Mohamed Irshad yang merupakan Ahli di Lantik parlimen Singapura mewakili golongan muda.
MUIS sedang menggerakkan tabungan dan mensasar mengumpul dana S$2.5 juta untuk program ini. Mereka yang berkeperluan dijemput mendaftar diri secara dalam talian.
Bagi memudahkan kutipan penerima awam, waktu pengedaran bermula pada 24 April bertempat di 20 pusat kejiranan setiap hari pada jam 5:15 petang hingga 6:15 petang.
Status penutupan kesemua masjid dan acara harian bersangkutan di Singapura akan berterusan hingga 4 Mei – hampir dua minggu bulan Ramadan.
Semua umat Islam sudah tentu akan berdoa agar pandemik COVID-19 akan berakhir. Apapun yang berlaku, peluang memanfaatkan darurat yang dialami tidak menghalang menjadikan Ramadan ini yang terbaik pernah dilalui.