COVID-19: CDC tamatkan keperluan ujian saringan pelancong dari China

Astro Awani
Mac 8, 2023 06:45 MYT
CDC masih berusaha untuk mengenal pasti saiz lonjakan kes COVID-19 di China dan mendapatkan pandangan yang lebih baik tentang varian yang menular. - Gambar hiasan/AP
WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan, pihaknya merancang untuk menamatkan ujian mandatori COVID-19 untuk pelancong dari China.
Langkah itu dijangka akan dilaksanakan mulai Jumaat.
Menurut CDC, langkah kesihatan awam telah dilaksanakan untuk melindungi rakyat dan komuniti AS.
Bagaimanapun CDC masih berusaha untuk mengenal pasti saiz lonjakan kes COVID-19 di China dan mendapatkan pandangan yang lebih baik tentang varian yang menular.
CDC berkata, pihaknya akan terus memantau kes di China dan di seluruh dunia.
Minggu lalu, Jepun membatalkan syarat mengambil ujian untuk virus itu sebaik tiba dari China.
AS pada awal Januari menyertai negara lain dalam mengambil langkah baharu selepas keputusan Beijing untuk menarik balik dasar sifar COVID.
Pengembara berumur dua tahun ke atas perlu menunjukkan bukti ujian COVID-19 negatif, tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas dari China, Hong Kong atau Macau.
Agensi itu berkata, ia akan meneruskan program penjujukan genom di lapangan terbang terpilih yang meminta pengembara secara sukarela membantu pengesanan awal varian COVID-19 baharu.
CDC menjelaskan, program pengawasan genomik berasaskan pengembara akan memantau penerbangan dari China dan hab pengangkutan serantau serta penerbangan dari lebih 30 negara lain.
#COVID-19 #saringan #pelancong #ujian mandatori
;