COVID-19: CDC Amerika Syarikat tukar definisi kontak rapat
Astro Awani
Oktober 22, 2020 14:13 MYT
Oktober 22, 2020 14:13 MYT
PUSAT Pengendalian Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mentakrifkan semula terma kontak rapat iaitu memasukkan pertemuan yang singkat namun berulang.
CDC memberi perincian, kontak rapat kini bermaksud, individu yang menghabiskan sejumlah masa selama lebih 15 minit dalam tempoh 24 jam, walaupun tidak secara berterusan.
Ia sekali gus menolak definisi sebelum ini, iaitu 15 minit secara berterusan dengan jarak enam kaki atau dua meter, bersama kontak rapat.
"Malangnya, kita melihat trend peningkatan kes COVID-19 yang menyedihkan di AS, iaitu kira-kira 75 peratus daripada seluruh negara.
"Setakat ini, kita telah dapat mengesahkan lebih 8.1 juta kes dan 220,000 kematian dilaporkan sejak Januari," kata Dr Jay Butler, timbalan pengarah bahagian penyakit berjangkit CDC, di ibu pejabat CDC di Atlanta, pada Rabu.
Sementara itu, pengarah CDC Dr Robert Redfield menjelaskan:
"Terdapat data terkini yang menunjukkan, individu yang mempunyai kontak rapat dalam masa singkat, namun secara berulang, dengan jumlah masa lebih 15 minit dalam satu hari, turut dijangkiti.
"Dan ini adalah berdasarkan data baharu yang tidak ditemui empat bulan lalu."
CDC turut menasihati mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.
#CDC
#Amerika Syarikat
#definisi
#kontak rapat
#COVID-19
#kuarantin
#pesakit
#takrif semula
#terma
#pertemuan singkat
#pertemuan berterusan
#Jay Butler
#Robert Redfield