COVID-19: CDC Amerika Syarikat ramal 40,000 lagi kematian dalam tempoh tiga minggu
Khairunnisa Kasnoon
November 14, 2020 04:11 MYT
November 14, 2020 04:11 MYT
WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) meramalkan 40,000 lagi kematian akibat COVID-19 di negara itu dalam tiga minggu akan datang.
Data Universiti Johns Hopkins menunjukkan kira-kira 500,000 kes baharu disahkan di negara itu sejak Isnin dan kes terkumpul boleh melebihi 11 juta dalam empat hari akan datang.
Ramalan yang dikeluarkan CDC itu menunjukkan jumlah kematian COVID-19 di AS boleh meningkat sehingga 282,000 pada 5 Disember.
Dalam pada itu, beberapa negeri menangguhkan rancangan untuk melonggarkan sekatan secara berperingkat, sebaliknya memperketat langkah pencegahan wabak.
Kebanyakan kawasan panas di negara Uncle Sam itu diletakkan sebagai kawasan kuarantin dan penduduk diminta memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, beberapa negeri mengumumkan had waktu operasi perniagaan, serta kapasiti pengunjung dalam kedai dan restoran.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Awam California sehingga Khamis, 63,460 jangkitan COVID-19 disahkan di daerah itu dan musim cuti yang akan datang dijangka akan memburukkan keadaan.
Justeru, orang ramai diminta menangani wabak itu dengan serius dan mengambil langkah-langkah perlindungan yang mencukupi.
#COVID-19
#Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit
#CDC
#jumlah kematian
#memperketat langkah pencegahan wabak
#kawasan kuarantin
#pelitup muka