COVID-19: Bunyi bingit telefon bimbit, antara kejayaan Korea Selatan beri amaran kecemasan
Harits Asyraf Hasnan
April 21, 2020 13:26 MYT
April 21, 2020 13:26 MYT
Dalam kelompok masyarakat berteknologi tinggi di Korea Selatan, kini adalah sudah menjadi kelaziman apabila jutaan telefon bimbit rakyat di negara itu berdering serentak dengan nada ‘bip’ berkali-kali diikuti pesanan dengan perkataan ‘Amaran Kecemasan’ tertera jelas.
Itu gambaran 'normal baharu' kehidupan buat warga negara itu tatkala berdepan krisis kesihatan 'terbesar' pandemik COVID-19 yang dijangka berpanjangan.
Mesej yang dikongsikan kepada rakyat negara itu jauh lebih terperinci dan bukan sekadar arahan mencuci tangan dan mengelak daripada berada di tempat yang sesak.
Pihak berkuasa negara itu juga menyalurkan maklumat berangkai berkaitan kes di sesebuah bandar, wad, termasuk lokasi terakhir seseorang pesakit COVID-19 itu pernah berada.
Contohnya, di Dongdaemun, kawasan bersejarah di Seoul yang sering dikunjungi mereka yang ingin membeli belah dan mendapatkan makanan, warga negara itu akan secara tiba-tiba menerima informasi berkenaan seorang pesakit.
“Pesakit (COVID-19) telah ke sebuah restoran Jung-yuk antara jam 7 ke 9 malam pada 29 Februari. Kami telah sanitasi restoran tersebut pada 3.50 petang, 1 Mac, dan restoran itu telah ditutup,” memetik teks mesej itu.
Sesiapa sahaja yang mempunyai telefon bimbit akan mendapat puluhan maklumat seperti itu, bersama nada ‘bip’ yang 'menjengkelkan' antara 40 hingga 60 desibel.
Itu antara antara usaha yang dilakukan Korea Selatan dalam menangani wabak COVID-19 di seluruh negara itu sehingga menjadikan jumlah kes harian di negara itu menurut dan sekitar satu digit ketika ini.
Memetik laporan ‘Melandaikan Lengkungan COVID-19: Pengalaman Korea’, perkhidmatan penyiaran oleh syarikat selular (CBS) itu antara langkah terbaik yang dilaksanakan negara itu dalam memastikan rakyatnya sentiasa berwaspada terhadap ancaman COVID-19.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Korea Selatan mempunyai hak sepenuhnya untuk menghantar mesej terus kepada penduduk di sesuatu kawasan itu tanpa perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi.
Antara contoh mesej lain yang disampaikan kepada rakyatnya seperti:
“Kami mengesahkan seorang pesakit dari sebuah wad telah ke Restoran Jigai. Pesakit ini telah ke sana antara jam 9.30 hingga 11 malam. Kami telah sanitasi kawasan tersebut dan restoran itu telah ditutup. Sekiranya anda pernah ke restoran tersebut, sila hubungi pejabat wad,” memetik laporan itu lagi.
Seperti di Seongbuk, di mana lokasi para jutawan mengasingkan diri di kawasan pergunungan utara Seoul, “satu kes telah disahkan," memetik satu lagi contoh amaran dikeluarkan buat penduduk.
Walaupun tidak menyatakan secara terperinci, namun pesanan itu juga menggesa penduduk di situ sekiranya mengalami demam atau masalah pernafasan, menghubungi pejabat pihak kesihatan segera.
Konsep CBS ini telah lama digunapakai oleh Korea Selatan termasuk swaktu gempa bumi Gyeongju pada September 2016 dan kebakaran hutan di Gangneung pada May 2017.
Ini sekaligus menggambarkan pihak berkuasa Korea Selatan menggunakan sepenuhnya sistem yang ada secara efektif terutamanya ketika dunia sedang 'berperang' dengan wabak membunuh itu.
#amaran kecemasan
#bunyi bip telefon bimbit
#coronavirus
#COVID-19
#kejayaan Korea Selatan tangani COVID19
#Korea
#Korea Selatan
#koronavirus
#mesej amaran