COVID-19: Buka semula aktiviti sosial, ekonomi tergesa-gesa antara punca bencana
Agensi
Ogos 31, 2020 05:28 MYT
Ogos 31, 2020 05:28 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan pembukaan semula aktiviti sosial dalam sesebuah negara secara tergesa-gesa ketika dunia diancam penularan wabak COVID-19 antara punca bencana.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghereyesus menegaskan negara yang melonggarkan perintah berkurung tanpa persediaan khusus perlu bersedia untuk membendung penularan wabak berkenaan.
"Kami memahami ada sesetengah negara mahukan aktiviti sosial dan ekonomi berjalan semula dan itu semua orang mahu.
"Pelaksanaan perintah berkurung dan tinggal di rumah akan menyebabkan sesebuah negara berasa tertekan khususnya dalam aspek sistem kesihatan.
"WHO menyokong penuh kesungguhan negara yang membuka semula aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat kerana kita mahu lihat kanak-kank kembali ke kesekolah dan orang ramai kembali melakukan kerja masing-masing.
"Bagaimanapun usaha ini perlu mengutamakan aspek keselamatan semua pihak dan kita mahu lihat semuanya berjalan lancar dan selamat," katanya yang dipetik laporan agensi berita.
Dalam pada itu, Dr Tedros menekankan terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memerangi penyebaran virus itu.
"Antaranya dengan melakukan pencegahan perhimpunan ramai, melindungi mereka yang paling berisiko dijangkiti, mengambil langkah berwaspada terhadap individu bergejala, melakukan ujian saringan dan mengesan kontak rapat," jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 90 peratus negara menzahirkan persediaan untuk melakukan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain akibat pandemik itu.
Katanya, perkara itu disahkan menerusi hasil tinjauan yang disertai sebanyak 105 buah negara.
"Tinjauan ini bertujuan menilai kesan wabak COVID-19 terhadap sistem kesihatan terutamanya di negara berpendapatan rendah dan menengah.
"Hasil tinjauan itu juga mendapati perkhidmatan imunisasi dan jangkauan adalah yang paling terjejas denga 70 peratus negara dilaporkan mengalami gangguan," katanya.
Jelas beliau, perkara itu diikuti dengan diagnosis dan rawatan penyakit tidak berjangkit seperti kardiovaskular dan barah.
"Hampir satu perempat negara yang bertindak balas melaporkan alami gangguan terhadap perkhidmatan kecemasan," ujarnya.
#COVID-19
#ekonomi
#keselamatan
#kesihatan
#koronavirus
#pembukaan semula ekonomi
#perhimpunan
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#ujian saringan
#virus
#WHO