COVID-19: British Airways mohon penerima vaksin diberi kebenaran lakukan perjalanan tanpa sekatan

Astro Awani
Mac 14, 2021 08:51 MYT
Syarikat penerbangan British Airways menyatakan individu yang telah disuntik vaksin COVID-19 perlu dibenarkan melakukan perjalanan tanpa sekatan. -REUTERS
LONDON: Syarikat penerbangan British Airways menggesa agar individu yang telah disuntik vaksin COVID-19 dibenarkan melakukan perjalanan tanpa sekatan.
Begitu juga dengan individu yang tidak menerima vaksin namun mempunyai ujian saringan COVID-19 negatif.
Ini antara cadangan diberikan pengurus baharu British Airways, Sean Doyle sebulan sebelum kerajaan UK memberi kata putus berkenaan pembukaan semula sekatan perjalanan.
Ketika ini, percutian tidak dibenarkan hingga 17 Mei, namun pada 12 April, Britan akan mengumumkan bagaimana dan bila perjalanan ke dalam dan luar negara boleh dilakukan.
Doyle meminta Britain bekerjasama dengan kerajaan lain untuk membolehkan vaksin dan aplikasi kesihatan membuka perjalanan.
Ini selepas setahun hanya penerbangan minimum dibenarkan sehingga membuatkan banyak syarikat penerbangan mengalami kerugian teruk.
"Saya rasa orang yang telah diberi vaksin harus dapat melakukan perjalanan tanpa sekatan.
"Mereka yang belum diberi vaksin boleh melakukan perjalanan dengan keputusan ujian negatif,” katanya.
Doyle menyatakan pemberian vaksin membuatkan syarikat itu optimis penerbangan akan dibenarkan bermula musim panas ini namun menyatakan ia akan bergantung kepada pengumuman kerajaan pada 12 April.
Beliau mahu kerajaan memberikan sokongan kepada aplikasi kesihatan yang dapat digunakan untuk mengesahkan hasil ujian COVID-19 negatif dan status vaksinasi seseorang.
Aplikasi itu akan menjadi kunci untuk memudahkan perjalanan dalam skala besar.
Kakitangan syarikat penerbangan yang memeriksa kertas kerja mengambil masa 20 minit bagi setiap penumpang dan tidak praktikal sekiranya melibatkan sejumlah besar penumpang.
Britain dengan pantas melancarkan vaksinasi dan 44 peratus populasi orang dewasa yang kebanyakannya berusia lebih 60 tahun kini mendapat suntikan pertama.
Kerajaan menyatakan bahawa setiap perjalanan mesti adil dan tidak merugikan mereka yang belum diberi vaksin.
British Airways telah membuat perjanjian dengan penyedia kit ujian saringan yang membolehkan penumpang melakukan ujian untuk dibawa ke luar negara.
#British Airways #syarikat penerbangan #vaksin COVID-19 #ujian saringan #Sean Doyle #kerajaan UK #vaksin #COVID-19 #penerbangan
;