COVID-19: Britain segerakan bantuan tambahan ke India
Astro Awani
Mei 3, 2021 08:22 MYT
Mei 3, 2021 08:22 MYT
KERAJAAN United Kingdom (UK) menyegerakan bantuan tambahan kepada sistem kesihatan India, ketika para doktor di negara itu bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, yang mengorbankan ribuan nyawa setiap hari.
Ia menjanjikan lebih banyak ventilator dan nasihat pakar, termasuk penghantaran 1,000 unit alat bantuan pernafasan ke India.
Menurut Setiausaha Luar Dominic Raab, bantuan itu adalah tambahan kepada 200 ventilator, 495 penumpu oksigen dan tiga unit penjana oksigen yang dihantar ke India minggu lalu.
"Kami akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa India. Saya telah berbincang dengan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar.
"Kami ingin pastikan kami akan dapat berikan bantuan yang mereka benar-benar perlukan. Jadi, kami sedang mendengar dengan teliti.
"Oleh itu, selain konsentrator oksigen dan penjana oksigen, kami sekarang menyediakan 1,000 ventilator tambahan untuk menyokong rakan kami di India ketika mereka sangat memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada satu rancangan televisyen di Pusat Penyiaran BBC, di London, pada Ahad.
Beliau turut ditanya adakah kerajaan Britain bercadang menghantar dos vaksin ke India sekiranya UK mempunyai lebihan bekalan.
"Perkara itu tidak dibincangkan buat masa ini, tetapi sudah pasti, kami akan berkolaborasi rapat dengan rakan di India seperti yang dilakukan sepanjang penularan pandemik selama ini," katanya.
Perdana Menteri Boris Johnson dijangka mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, pada Selasa, bagi membincangkan kerjasama lebih lanjut antara kedua-dua negara.
#COVID-19
#India
#bantuan
#London
#Britain
#Narendra Modi
#United Kingdom
#Perdana Menteri
#Boris Johnson
#pandemik
#ventilator
#oksigen