COVID-19: Britain hadapi gelombang Omicron, dua dos vaksin tak cukup
Astro Awani
Disember 13, 2021 08:41 MYT
Disember 13, 2021 08:41 MYT
LONDON: Britain berdepan gelombang varian Omicron koronavirus dan dua dos vaksin tidak akan mencukupi untuk membendungnya.
Amaran itu dikeluarkan Perdana Menteri Boris Johnson yang kini mempercepatkan program dos penggalak di negara itu.
Bercakap beberapa jam selepas saintis kerajaan menaikkan tahap amaran COVID-19 kepada 4 pada skala 5 mata, Johnson berkata program dos penggalak mesti berjalan lebih pantas kerana saintis belum mengetahui tahap Omicron berbanding varian lain.
Katanya, saintis maklum bahawa Omicron lebih mudah menular dan perkhidmatan kesihatan negara akan berjuang untuk menghadapi kemasukan ke hospital jika varian itu mengancam populasi yang belum menerima dos penggalak.
"Saya bimbang kita kini menghadapi kecemasan dalam pertempuran kita dengan varian baharu Omicron dan kita mesti segera mengukuhkan dinding perlindungan vaksin kita untuk memastikan rakan dan orang tersayang selamat.
"Empat ketua pegawai perubatan UK menaikkan tahap amaran COVID kepada empat, tahap kedua tertinggi kerana kes jangkitan Omicron meningkat dua kali ganda di UK setiap dua hingga tiga hari.
"Kita tahu daripada pengalaman pahit bagaimana perkara ini berkembang. Tiada siapa yang perlu ragu-ragu berlakunya gelombang Omicron dan kini jelas bahawa dua dos vaksin tidak mencukupi untuk memberikan tahap perlindungan yang kita semua perlukan," katanya.
Johnson menambah, semua individu yang layak berumur 18 tahun ke atas di England akan berpeluang untuk mendapatkan dos penggalak mereka sebelum tahun baharu.
Minggu lalu Johnson memperkenalkan langkah "Pelan B" COVID-19 untuk England, mengarahkan orang ramai bekerja dari rumah, memakai pelitup muka di tempat awam dan menggunakan pas vaksin untuk memperlahankan penyebaran Omicron.
Purata tujuh hari kes COVID-19 mengikut tarikh yang dilaporkan telah meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini melebihi 50,000 tertinggi sejak kemuncak januari semasa gelombang kes terakhir.
Dengan 146,439 kematian direkodkan dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif COVID-19 sehingga Ahad, Britain mempunyai jumlah kes kematian tertinggi di Eropah akibat virus itu.