COVID-19: Britain ambil langkah berhati-hati sebelum mansuh sekatan
Astro Awani
Jun 3, 2021 08:13 MYT
Jun 3, 2021 08:13 MYT
LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengambil langkah berhati-hati sebelum memansuhkan sekatan koronavirus.
Ini kerana belum jelas bagaimana bentuk perlindungan penduduk terhadap serangan baharu COVID-19 apabila sekatan dimansuhkan bulan ini.
Johnson sebelum ini memberi amaran penularan pantas dari varian B.1.617.2 yang pertama kali dikesan di India akan menggagalkan rancangan mengakhiri sekatan COVID-19 di England pada 21 Jun.
Pada Rabu, beliau menyatakan tiada data menunjukkan tarikh itu perlu ditangguhkan.
Namun beliau juga tidak dapat memberikan komitmen untuk mansuhkan sekatan pada tarikh berkenaan.
Katanya, data masih dalam keadaan samar sama ada program vaksinasi sudah cukup baik untuk melindungi warga emas dan golongan rentan.
Kata Johnson, lonjakan kes baru-baru ini selepas kelonggaran sekatan sudah dijangkakan.
Tambah Johnson, beliau membuat perbincangan panjang lebar pada setiap hari untuk melihat data-data tersedia bersama penasihat sains.
Petunjuk terkini daripada para saintis ialah mereka memerlukan lebih banyak masa untuk pengumpulan data mengenai kesan varian yang dikenali sebagai varian delta.
#Boris Johnson
#COVID-19
#koronavirus
#program vaksinasi
#Britain
#Perdana Menteri
#warga emas
#sekatan
#England