COVID-19: Brazil longgar sekatan pengembara antarabangsa

Astro Awani
April 2, 2022 07:45 MYT
Secara amnya garis panduan baharu mengesahkan vaksinasi sebagai asas bagi dasar sempadan negara untuk semua mod pengangkutan. - Foto REUTERS
SAO PAULO: Agensi Kesihatan Brazil, Anvisa mengeluarkan garis panduan baharu untuk pelancongan antarabangsa yang akan tiba ke negara itu.
Garis panduan itu melonggarkan sekatan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 susulan krisis kesihatan yang semakin reda di negara Amerika Selatan itu.
Anvisa berkata, rakyat Brazil dan warga asing yang telah diberikan vaksin kini dikecualikan daripada mengemukakan bukti ujian saringan COVID-19 dan hanya perlu mengemukakan bukti vaksinasi secara bercetak atau elektronik.
Anvisa dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, secara amnya garis panduan baharu mengesahkan vaksinasi sebagai asas bagi dasar sempadan negara untuk semua mod pengangkutan.
Justeru, imunisasi lengkap adalah wajib bagi semua individu yang layak untuk divaksin dan berhasrat memasuki Brazil.
Di bawah peraturan, skim vaksinasi mesti lengkap sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh berlepas.
Pengembara yang tidak diberi vaksin sepenuhnya dengan syarat mereka warga Brazil dan warga asing yang menetap di negara itu mesti mengemukakan ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif.
Agensi itu juga menyatakan warga asing yang tinggal di luar negara dan tidak diberi vaksin sepenuhnya kekal dilarang memasuki negara itu, dengan pengecualian yang tidak diperincikan dalam kenyataan itu.
#COVID-19 #vaksin #pelancongan #garis panduan
;