COVID-19: Bimbang penularan, Hong Kong larang kemasukan penumpang pesawat dari Indonesia
Agensi
Jun 24, 2021 15:29 MYT
Jun 24, 2021 15:29 MYT
HONG KONG: Pemerintah Hong Kong pada Rabu mengumumkan larangan ke atas penumpang pesawat dari Indonesia, bermula Jumaat berikutan kebimbangan penularan COVID-19, lapor Reuters.
Penumpang dari Indonesia malah dikategorikan sebagai 'berisiko tinggi ekstrem'.
Pihak berkuasa berkata, jadual pesawat-pesawat dalam laluan berkaitan akan ditangguhkan setelah mengesan kes-kes COVID-19 import dari Indonesia melepasi kadar yang ditetapkan oleh wilayah hab kewangan global itu.
Hong Kong sebelum ini melarang kedatangan penumpang dari India, Nepal, Pakistan dan Filipina, selepas isyarat pengesanan menunjukkan lima atau lebih penumpang yang diuji positif varian COVID-19 sewaktu ketibaan.
Penetapan keputusan itu juga dibuat apabila 10 atau lebih penumpang dikesan mempunyai sebarang strain koronavirus semasa dalam kuarantin.
Wilayah Pentadbiran Khas China itu telah merekodkan lebih 11,800 kes dan 210 kematian akibat pandemik berkenaan. Kebanyakan daripada kes yang dikenal pasti di bandar raya itu sejak bulan kebelakangan ini adalah kes import.
Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata, larangan yang dikenakan Hong Kong itu bersifat 'sementara' dan para pekerja migran yang terjejas dengan peraturan baharu tersebut diminta menghubungi majikan dan ejen masing-masing.
Hong Kong mengambil ribuan pekerja migran dari pelbagai negara termasuk Indonesia da Filipina.
#Hong Kong
#COVID-19
#larangan
#Indonesia
#kemasukan penumpang
#kuarantin
#kes import
#pandemik
#pekerja migran