COVID-19: Bilik mayat Mumbai dipenuhi jasad tidak dituntut
Astro Awani
Mei 19, 2021 07:53 MYT
Mei 19, 2021 07:53 MYT
SEKUMPULAN sukarelawan di Mumbai, India bertungkus lumus menguruskan kematian akibat COVID-19 di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara itu.
Pusat krematorium dan tanah perkuburan di Mumbai menyaksikan angka kematian paling tinggi manakala bilik mayat pula terus mengumpul sejumlah besar mayat yang tidak dituntut.
Usaha sukarelawan ketika ini adalah untuk mengurangkan kesesakan di bilik mayat dan memastikan setiap jenazah yang tidak dituntut disemadi dengan baik.
Sejak bermulanya pandemik tahun lalu sehingga kini, pasukan sukarelawan di Mumbai itu telah menjalankan upacara pengebumian ke atas 1,300 mayat yang tidak dituntut.
"Dari jumlah tersebut, 800 melibatkan bukan Islam sementara 500 adalah orang Islam," kata salah seorang sukarelawan yang ditemui, Iqbal Mamdani.
Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di India setakat Rabu mencecah 25,496,330 sementara angka kematian adalah 283,248.
Sebanyak 4,529 kematian dilaporkan pada Rabu, rekod baharu jumlah kematian harian tertinggi.
#COVID-19
#jumlah kematian
#pandemik
#India
#Mumbai
#mayat
#kes positif
#Islam
#jenazah
#bilik mayat
#tanah perkuburan
#sukarelawan