COVID-19: Bilangan kes Indonesia atasi India, kini jadi pusat virus baharu Asia

Agensi
Julai 14, 2021 18:25 MYT
Sehingga hari ini, jumlah kes COVID-19 aktif di Indonesia adalah sebanyak 443,473. - Gambar/ REUTERS
JAKARTA: Bilangan kes COVID-19 harian di Indonesia kini mengatasi India, sekali gus menjadikan republik itu pusat virus baharu Asia susulan penyebaran varian Delta yang sangat mudah merebak.
Bloomberg melaporkan, Indonesia merekodkan bilangan kes baharu mencecah 40,000 untuk tiga hari berturut-turut, termasuk rekod tertinggi 54,517 pada hari ini.
Ia meningkat kira-kira empat kali ganda berbanding kurang daripada 10,000 kes harian sebulan yang lalu.
Kerajaan bimbang varian Delta yang lebih mudah disebarkan kini merebak ke luar pulau utama negara itu, Jawa, dan seterusnya menyebabkan tekanan melampau pada petugas kesihatan dan kehabisan bekalan oksigen serta ubat-ubatan.
Sementara itu, India, dengan populasi sekitar lima kali ganda daripada 270 juta penduduk Indonesia, menyaksikan jangkitan harian turun di bawah 39,000 pada Rabu.
Dalam pada itu, laporan yang dikeluarkan Satuan Tugas Penanganan COVID-19 Indonesia, menunjukkan angka kumulatif kes COVID-19 di Indonesia kini mencecah 2.67 juta kes yang mula dihitung sejak pesakit pertama pada 2 Mac 2020.
Ia juga memaklumkan, dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 17,762 pesakit sudah kembali sembuh sekali gus menjadikan jumlah kes sembuh seramai 2.15 juta orang.
Dalam masa sama, 991 nyawa pula terkorban akibat COVID-19 menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia sehingga kini berjumlah 69,210 orang.
Perkembangan terkini itu juga menyaksikan jumlah kes aktif di Indonesia kini adalah sebanyak 443,473.
#COVID-19 #Indonesia #kes baharu #hari ke-500 #meninggal dunia #India #pusat virus baharu
;