COVID-19: Biden umum strategi tangani pandemik

Astro Awani
Januari 21, 2021 06:47 MYT
Joe Biden menandatangani perintah eksekutif sebagai sebahagian rancangan kerajaannya dalam menangani COVID-19 di White House, Washington, 21 Jan, 2021. Turut kelihatan, Pakar Penyakit Berjangkit AS, Dr Anthony Fauci (kiri). REUTERS
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memperincikan strateginya bagi memerangi COVID-19 di negara itu.
Ia termasuk mempercepatkan program vaksinasi dan kajian lanjut, pembukaan semula sekolah dan perniagaan serta meningkatkan penggunaan pelitup muka.
Bercakap pada hari pertamanya di White House pada Khamis, Biden turut mengumumkan pelancaran strategi itu adalah selari dengan manifesto yang dikemukakannya semasa kempen Pilihan Raya Presiden.
Jelasnya, strategi tersebut adalah komprehensif berdasarkan kajian sains dan bukan berdasarkan politik, malah ia adalah lebih terperinci.
“Strategi kami akan dimulakan dengan menjalankan kempen vaksinasi yang agresif, selamat dan berkesan. Untuk memenuhi matlamat kempen ini, pengedaran 100 juta dos pada 100 hari pertama pentadbiran kami.
“Kami kini pada hari pertama. Ini merupakan salah satu cabaran operasi terbesar di negara kita dan saya komited untuk melakukannya.
“Seperti yang saya jelaskan minggu lepas, kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan rakyat negara ini menerima suntikan vaksin percuma dan membangunkan lebih banyak pusat untuk melakukan proses vaksinasi.
"Kami akan menggerakkan lebih banyak pasukan perubatan untuk menerima suntikan dan meningkatkan bekalan vaksin dan diberikan secara secepat mungkin,” katanya.
Walaupun dengan strategi itu, Biden turut memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum ia bertambah baik.
Namun Biden berjanji, bantuan akan menyusul di negara itu.
Beliau kemudian menandatangani 10 perintah eksekutif berkaitan COVID-19.
#Manifesto #White House #COVID-19 #vaksin #pandemik #Joe Biden #Kajian #strategi #presiden as #Amerika Syarikat #pilihan raya #politik #pelitup muka #program vaksinasi #sekolah #perintah eksekutif
;