COVID-19: Biarpun stabil, Macron masih alami gejala

Saraya Mia
Disember 21, 2020 06:56 MYT
Macron didapati positif selepas menghadiri Sidang Kemuncak EU dengan beberapa pemimpin Eropah yang lain minggu lalu. - Gambar fail
PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron masih menunjukkan gejala akibat jangkitan COVID-19, namun berada dalam keadaan stabil, umum jurucakap kerajaan Gabriel Attal pada Isnin.
Pemimpin berusia 43 tahun itu diuji positif virus tersebut pada Khamis dan mengasingkan diri di La Lanterne, berhampiran Istana Versailles.
Macron diletakkan di bawah pemerhatian doktor rasmi presiden, Jean-Christophe Perrochon, seorong kolonel dalam perkhidmatan perubatan tentera Perancis.
Ujian klinikal dijalankan secara konsisten untuk memantau tahap kesihatan Macron dan menurut Perrochon, keputusan ujian adalah “meyakinkan”, lapor portal berita Euro News.
Macron didapati positif selepas menghadiri Sidang Kemuncak EU dengan beberapa pemimpin Eropah yang lain minggu lalu, manakala isterinya, Brigitte Macron diuji negatif COVID-19.
Bagaimanapun, beliau tetap meneruskan tugasan dan telah mengadakan persidangan secara maya beberapa jam selepas diuji positif COVID-19.
Pada Isnin, stesen BFM TV menyiarkan gambar Macron mempengerusikan mesyuarat kementerian kerajaan menerusi satu sidang audiovisual.
Katanya, Perancis perlu meningkatkan kewaspadaan berhubung keadaan COVID-19 di negara itu, susulan kemunculan strain baru virus tersebut di United Kingdom.
#Emmanuel Macron #COVID-19 #gejala #virus #presiden #kesihatan #United Kingdom #EU
;