COVID-19: Bersedia untuk senario paling teruk jika kita tidak bersatu - WHO

Agensi
April 9, 2020 08:45 MYT
DR TEDROS: Kita akan lihat banyak beg mayat di hadapan kita sekiranya kita tidak berjaga-jaga. - Gambar REUTERS
Selepas dikritik Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih berada dalam mod defensif.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus tidak melayan kerenah Trump sebaliknya memberi amaran bahawa jika dunia tidak bersatu dalam menentang penularan COVID-19, maka lebih banyak kematian akan disaksikan.
“Kita akan lihat banyak beg mayat di hadapan kita sekiranya kita tidak berjaga-jaga.
"Apabila keretakan timbul di tahap kebangsaan dan tahap global, itu tandanya virus tersebut telah menang.
“Kita telah pun tewas, kita sudah hilang lebih 60,000 nyawa. Satu nyawa pun cukup penting, tidak kira muda atau tua.
"Lebih satu juta kes. Apa yang kita sedang lakukan? Adakah ini tidak mencukupi. Ia lebih dari mencukupi. Hanya satu nyawa yang terkorban sudah menjadi bencana sekiranya kita boleh mengelakkannya.
“Nasihat saya, tiga perkara, perpaduan pada tahap kebangsaan, jangan gunakan COVID-19 untuk tujuan politik.
"Kedua, solidariti yang jujur pada tahap global dan kepimpinan yang jujur daripada AS dan China.
"Seperti perang dingin dan kini masalah kita kurang berbanding perang dingin, sesiapa yang mempunyai pendapat yang berbeza, perlu bersatu untuk melawan perkara itu,” katanya.
Dr Tedros turut meminta semua untuk bersatu kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menewaskan virus ini.
“Kurang perpaduan? Tolong bersedia. Sekiranya anda tidak percaya dalam perpaduan atau tidak mengamalkannya, bersedia untuk senario yang paling teruk.
"Situasi akan menjadi paling buruk apabila kita tidak bersatu,” tegasnya.
Pada Rabu, Trump mengkritik pendirian WHO yang didakwa sebagai terlalu berpihak kepada China dan mengkritik nasihat perjalanan yang dikeluarkan WHO ketika awal penularan COVID-19.
Trump, dalam masa yang sama, turut mengancam untuk mengurangkan dana daripada AS kepada WHO.
AS sehingga 900 juta dollar kepada belanjawan WHO pada tempoh 2018 sehingga 2019.
Ini adalah sekitar satu perlima jumlah keseluruhan belanjawan WHO untuk tempoh tersebut.
Pada 2019, AS menyumbang sekitar AS$452 juta.
Dalam cadangan terkini pada Februari, pentadbiran Trump dilaporkan ingin memotong sumbangan kepada WHO kepada sekitar AS$58 juta.
Ada ahli politik di AS yang turut menggesa Dr Tedros meletak jawatan untuk memastikan AS meneruskan sumbangan kepada belanjawan WHO.
Trump sebelum ini turut dikritik kerana respon yang dilaporkan perlahan dalam menangani penularan virus tersebut di AS.
#AS #China #COVID-19 #Donald Trump #PBB #Perang Dingin #Tedros Adhanom Ghebreyesus #WHO
;