COVID-19: 'Bersedia untuk keadaan lebih teruk' - WHO bimbang susulan kematian di Afrika

Agensi
Mac 19, 2020 08:16 MYT
TEDROS: Afrika harus segera sedar keadaan semasa yang meruncing dan betapa cepatnya jangkitan COVID-19 tersebar. -Gambar fail
Afrika harus segera sedar keadaan semasa yang meruncing dan betapa cepatnya jangkitan COVID-19 tersebar.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media berkata situasi semasa akan tambah sulit memandangkan kekurangan infrastruktur kesihatan, kemiskinan, konflik selain kesesakan di rantau itu.
"Afrika perlu bangkit.
"Di negara lain, kita telah melihat bagaimana jangkitan virus ini melonjak secara drastik," kata Tedros pada sidang media di Geneva.
Tedros berkata demikian sebagai reaksi susulan pengumuman kematian pertama akibat COVID-19 di Burkina Faso dan juga di Afrika sub-Sahara serta jumlah jangkitan yang meningkat daripada tujuh kepada 27 orang pada Rabu.
Korban merupakan seorang wanita yang mengidap kencing manis berusia 62 tahun, umum pihak berkuasa perubatan di Sahel Burkina Faso.
Afrika sebelum ini tidak mencatat sebarang kes COVID-19, namun menyaksikan kenaikan beberapa hari akhir-akhir ini dalam kes berkenaan.
Sementara itu, Afrika Selatan melaporkan lebih daripada satu pertiga kes, dengan 31 jangkitan baru menjadikannya berjumlah 116.
Zambia turut mengumumkan dua kes pertama yang disahkan, iaitu pasangan yang kembali ke ibu kota Lusaka dari percutian 10 hari di Perancis.
Sehingga Rabu, kes yang dilaporkan berjumlah 576 di seluruh Afrika.
Daripada jumlah itu, 15 kes telah membawa maut: enam di Mesir, lima di Algeria, dua di Maghribi, satu di Sudan dan satu di Burkina Faso.
Angka-angka tersebut masih kecil berbanding dengan seluruh dunia yang kini jumlah kematian global melepasi 8,000 dengan lebih daripada 200,000 jangkitan.
Tedros turut memberitahu, sub-Sahara Afrika telah mencatat 233 jangkitan, tetapi mengingatkan jumlah rasmi mungkin tidak mencerminkan gambaran penuh.
"Mungkin kita ada kes yang tidak dapat dikesan atau kes yang tidak dilaporkan," katanya.
Beberapa negara di Afrika kini telah memperuntukkan sedikit masa memulakan langkah-langkah drastik.
Pergerakan lalu lintas udara juga sukar kini akibat banyak kes Afrika dikesan daripada orang yang kembali dari negara-negara di Eropah dan Timur Tengah.
Beberapa negara, seperti Somalia, Chad, Guinea-Bissau dan terkini pulau Madagascar telah menghentikan semua penerbangan ke negara mereka.
Pada Rabu, Cape Verde iaitu kepulauan tropika di pantai barat Afrika yang bergantung kepada pelancongan turut melarang penerbangan dari negara-negara yang terjejas COVID-19.
Burkina Faso juga telah memerintahkan penutupan semua sekolah dan menghalang semua perhimpunan awam dan swasta sehingga akhir bulan April.
Terdapat juga kebimbangan di jalan luar biasa yang tenang di ibu kota Ouagadougou.
"Ini membimbangkan dengan apa yang berlaku dengan virus ini, tetapi kita tidak boleh membendung diri seperti negara maju, kita kekurangan segala-galanya kerana kita hidup sehari ke sehari.
"Kita tidak boleh, sebagai contoh, menutup pasar raya besar, jika itu berlaku, bukan COVID-19 yang akan membunuh kita tetapi kesengsaraan dan kelaparan," kata penjual basikal, Boureima Baguian.
Afrika Selatan, negara yang paling teruk di Sub-Sahara Afrika, telah melarang semua kapal pelayaran untuk berlabuh di pelabuhannya.
Lebih daripada 1,700 orang terkandas dalam sebuah kapal di Cape Town yang ditakuti sesetengahnya dijangkiti COVID-19.
Ia tamparan terbaru kepada sektor pelancongan di seluruh benua, dengan ketakutan COVID-19 turut membatalkan acara sukan, budaya dan agama.
Analisis pada tahun 2016 oleh Rand Corporation, badan pemikir Amerika Syarikat, mendapati 22 daripada 25 negara di dunia yang terdedah kepada wabak berjangkit adalah di Afrika selain Afghanistan, Yaman dan Haiti.
Laporan itu turut menamakan beberapa negara yang melintasi pinggir selatan Sahara melalui Sahel ke Afrika yang kebanyakannya bergelut dengan konflik.
"Jika penyakit berjangkit muncul dalam rantaian negara ini, ia dengan mudah menyebarkan sempadan di semua arah dan disokong oleh kelemahan serta rangkaian sistem kesihatan yang lemah," jelas laporan itu.
Tedros dalam pada itu turut mengesyorkan agar perhimpunan besar-besaran dielakkan selain menggesa Afrika untuk menghalang apa sahaja dari awal demi mengelakkan perkara yang teruk berlaku.
"Nasihat terbaik untuk Afrika adalah untuk mempersiapkan yang paling buruk dan bersedia hari ini," katanya.
#2016 #Afghanistan #Algeria #Amerika Syarikat #COVID-19 #Mesir #Parlimen #pembangkang #perhimpunan #wanita #WHO
;