COVID-19: Belgium umum larangan perjalanan percutian

Astro Awani
Januari 23, 2021 10:07 MYT
Alexander De Croo bercakap pada sidang media selepas mesyuarat kerajaan berhubung sekatan susulan penularan COVID-19 di Brussels, Belgium, 22 Jan, 2021. REUTERS
BELGIUM mengumumkan larangan perjalanan percutian terhadap rakyatnya bermula minggu depan sehingga Mac.
Perdana menterinya, Alexander De Croo menjelaskan, perjalanan percutian berkemungkinan meningkatkan risiko jangkitan.
Pada masa sama, analisis berkenan ujian COVID-19 menemui varian baharu direkodkan di negara-negara luar.
“Kita bukan membina tembok di seluruh negara. Perjalanan penting masih boleh dilakukan tetapi ia terhad kepada urusan penting.
“Saya tahu ia adalah langkah yang ketat tetapi kami mendapati sejak beberapa minggu lepas, apabila orang ramai melakukan perjalanan percutian, ia membolehkan virus merebak dengan cepat.
“Kami juga mendapati ujian sampel dari mereka yang bercuti merekodkan lebih banyak varian baharu daripada mereka yang tidak melakukan perjalanan percutian,” katanya.
Perjalanan penting termasuk bagi menguruskan hal keluarga, rawatan perubatan dan bekerja rentas daerah masih boleh dilakukan.
Keputusan tersebut menyusul selepas pemimpin Kesatuan Eropah bersetuju untuk membuka pintu sempadan bagi memastikan urusan perjalanan penting diteruskan.
#Belgium #COVID-19 #Kesatuan Eropah #varian baharu #keluarga
;