COVID-19: Belgium longgar sekatan pengembaraan bermula musim panas
Astro Awani
Jun 4, 2021 07:10 MYT
Jun 4, 2021 07:10 MYT
BRUSSELS: Sekatan perjalanan ke dan dari Belgium akan dilonggarkan bermula musim panas ini dengan menggunakan sijil pengesahan COVID-19 Eropah.
Menurut Perdana Menterinya, Alexander De Croo, bermula 1 Julai, rakyat Eropah dibenarkan memasuki Belgium dengan penggunaan sijil pengesahan itu.
Sijil pengesahan tersebut turut membuktikan mereka sudah lengkap divaksinasi, pengesahan ujian Rt PCR yang negatif dan pengembara tidak perlu melalui proses kuarantin bagi kelonggaran ini walaupun tiba dari zon merah.
Namun, bagi pengembara yang tiba selain dari Kesatuan Eropah, ia akan diputuskan berdasarkan jumlah jangkitan di negara asal dan kemungkinan perjanjian yang dicapai di peringkat EU.
“Peraturan pertama adalah mereka yang datang dari zon hijau atau jingga tidak perlu dikuarantin.
"Namun bagi mereka yang tiba atau dari zon merah, ia telah dipersetujui jika anda menggunakan sijil COVID-19, anda juga tidak perlu melalui proses kuarantin.
“Ini bermakna jika anda datang dari zon merah, anda tidak perlu dikuarantin atau ujian swab apabila tiba di Belgium dengan syarat anda telah melengkapkan vaksinasi untuk sekurang-kurangnya dua minggu atau anda boleh mengesahkan keputusan PCR negatif dalam tempoh 72 jam atau anda boleh buktikan pengesahan yang anda sudah pulih dari COVID-19,” katanya.
Pada masa sama, De Croo turut mengumumkan dengan penurusan kes harian dan kadar kebolehjangkitan di negara itu, beberapa sekatan lain akan dilonggarkan bermula 9 Jun nanti.
Bermula tarikh itu nanti, bar dan restoran akan dibenarkan beroperasi dari 5 pagi hingga 11.30 malam.
#Belgium
#RT PCR
#sijil pengesahan
#Alexander De Croo
#COVID-19
#kadar kebolehjangkitan
#Kesatuan Eropah
#EU
#jangkitan
#pelancong