COVID-19: Belanda mansuh sekatan bermula Jumaat ini
Astro Awani
Februari 16, 2022 09:30 MYT
Februari 16, 2022 09:30 MYT
AMSTERDAM: Kerajaan Belanda akan menarik balik sebahagian besar sekatan koronavirus pada Jumaat.
Ini susulan tahap jangkitan yang dicetuskan oleh varian Omicron tidak menyebabkan kemasukan ke hospital yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Ernst Kuipers berkata, negara akan kembali dibuka dan beliau gembira kerana Belanda berada di dalam fasa yang berbeza sekarang.
Bar dan restoran akan dibenarkan untuk terus dibuka sehingga 1 pagi dan bukannya 10 malam seperti sebelum ini.
Beliau optimis mengenai keadaan itu tetapi masih menggesa agar masyarakat berhati-hati.
Pemakaian pelitup muka juga tidak lagi diwajibkan namun masih mengekalkan syor agar ia dipakai ketika berada di tempat awam.
Langkah penjarakan fizikal akan dimansuhkan di tempat awam menjelang akhir bulan, tetapi pelawat perlu menunjukkan sama ada bukti vaksinasi, pemulihan daripada COVID-19 atau ujian koronavirus negatif.
Beberapa negara Eropah lain secara beransur-ansur melonggarkan sekatan.