COVID-19: Beijing tutup puluhan stesen tren bawah tanah

Astro Awani
Mei 4, 2022 22:20 MYT
Seorang petugas memakai pelitup muka ketika berada di stesen kereta api bawah tanah yang ditutup kepada orang ramai. - Foto REUTERS
BEIJING: Beijing bertindak menutup berpuluh-puluh stesen kereta api bawah tanah pada Rabu, berikutan sekatan COVID-19 berupaya menghalang pergerakan rakyat di seluruh ibu kota China itu.
Antara lain, Beijing Subway mengumumkan penutupan kira-kira 45 stesen iaitu sekitar 14 peratus daripada rangkaiannya.
Kebanyakan stesen yang ditutup terletak berhampiran kawasan dikenakan sekatan pergerakan.
Pengumuman itu dibuat Beijing Subway menerusi aplikasi WeChat.
Sepanjang penutupan, pengguna bagaimanapun masih boleh membuat pertukaran di dalam stesen.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu sedang bergelut dengan serangan koronavirus paling teruk, dengan kebanyakan kes ditemui di hab perniagaan Shanghai, di mana penduduk sebahagian besarnya terperangkap di rumah lebih sebulan.
Penduduk Beijing bimbang bandar mereka akan ditutup secara sedikit demi sedikit walaupun merekodkan cuma puluhan kes harian.
Pada Rabu, ibu negara China dengan populasi lebih 21 juta itu hanya merekodkan 51 jangkitan virus tempatan termasuk yang tidak bergejala.
Manakala Shanghai melaporkan hampir 5,000 kes.
Kawasan perumahan dengan jangkitan yang dilaporkan telah pun dikenakan perintah berkurung.
Manakala peraturan di tapak pelancongan telah diketatkan semasa cuti Hari Buruh pada 1 Mei yang biasanya sibuk, kerana warga Beijing mula menyimpan stok selepas bimbang akan diarahkan duduk di rumah.
Pusat Dagangan Dunia China, yang merangkumi pejabat dan kawasan membeli-belah, turut sama ditutup sementara minggu ini hingga Ahad bagi mengekang penularan virus.
Selain Beijing, bandar Zhengzhou di tengah China juga meningkatkan kawalan bagi memerangi COVID-19.
Antara lain, penduduk di kawasan bandar utama perlu kekal di kawasan perumahan mereka melainkan yang berada di bawah langkah penutupan lebih ketat.
#COVID-19 #kereta api bawah tanah #Beijing Subway #sekatan