COVID-19: Beijing tingkat kapasiti ujian saringan kepada 1 juta sehari

Astro Awani
Jun 22, 2020 08:43 MYT
Beijing memperluaskan ujian saringan di bandar dengan penduduk seramai 20 juta orang itu sejak kluster baharu dikesan di pasar borong makanan seminggu lalu. - Reuters
Beijing mampu melakukan ujian saringan COVID-19 sebanyak satu juta individu setiap hari ketika mana seluruh bandar itu berusaha mengekang penularan baharu.
Beijing memperluaskan ujian saringan di bandar dengan penduduk seramai 20 juta orang itu sejak kluster baharu dikesan di pasar borong makanan seminggu lalu.
Penularan itu yang pertama di Beijing dalam beberapa bulan.
Ia kini melepasi jumlah puncak sebelumnya di bandar itu pada awal Februari.
Ujian saringan COVID-19 pada mulanya difokuskan pada mereka yang bekerja atau berbelanja di pasar Xinfadi atau tinggal di sekitarnya.
Namun, ia diperluas untuk merangkumi penduduk di bahagian lain bandar itu serta pekerja penghantaran makanan dan bungkusan.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Beijing, Gao Xiaojun berkata sejak penularan baharu ini, kapasiti ujian telah meningkat dua kali ganda lebih dari 230,000 setiap hari di 124 institut.
Gao berkata, wilayah termasuk Hubei dan Liaoning menghantar 200 pekerja makmal ke Beijing untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan virus itu.
#Beijing #COVID-19 #Gao Xiaojun #Hubei #pasar borong makanan #penularan baharu #Suruhanjaya Kesihatan Beijing #ujian saringan #Xinfadi
;